Berita

Isu FashionValet: SPRM ambil beberapa dokumen dari MoF, Khazanah, FashionValet

- Diterbit 4 November 2024 6:52 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak mengambil beberapa dokumen di Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) bagi siasatan kerugian RM43.9 juta.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki kepada media hari ini.

Menurut beliau, ia akan dikaji dan disemak susulan laporan kerugian pelaburan oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi perniagaan fesyen dalam talian tempatan itu.

“Dokumen-dokumen ini kita kaji dulu dan semak mengenai isu-isu berkaitan kewangan dan berkaitan.

“Siasatan baru bermula minggu lepas,” katanya.

Kelmarin beliau menegaskan SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam satu perniagaan fesyen dalam talian tempatan.

Beliau berkata, siasatan ini penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas