SEJAK akhir-akhir ini, banyak kisah wanita yang disakiti atau dikhianati tular namun mereka memilih untuk bertahan dalam mahligai yang dibina kerana perasaan sayang dan cinta kepada pasangan.
Malah tidak sedikit yang sanggup menutup mata dan terus rela bersabar selain bermati-matian mempertahankan hubungan hanya kerana memikirkan anak- anak yang bakal kehilangan kasih sayang.
Simpati dengan perkara tersebut, selebriti Shiha Zikir mengakui segala yang berlaku adalah dugaan yang hebat dan berat terutamanya buat insan yang bergelar wanita.
“Ramai isteri berdepan gangguan mental yang kronik termasuk kemurungan, diserang gangguan kebimbangan, suka bersendiri dan yang paling teruk ingin membunuh diri akibat konflik rumah tangga.
“Apabila emosi tidak dapat dikawal, ia menjadi faktor utama tekanan berpanjangan. Jika dibiarkan lama, situasi ini akan memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga,” ujarnya.
Tambahnya, jika tidak dibendung dengan cara yang betul bakal mengundang trauma dalam kalangan anak-anak dan tidak mustahil akan turut menjejaskan masa hadapan mereka.
“Walaupun saya belum berkahwin, tetapi banyak kisah sebegini dalam media sosial dan laporan media. Cukup menyedihkan. Namun saya sangat mengkagumi wanita yang kuat semangat dan tabah menghadapi dugaan hidup,” ujarnya.
Pelantun lagu Aewo ini berharap wanita yang dikhianati seharusnya bangkit dan tidak lemah untuk meneruskan kehidupan.
“Wanita kena kuat. Kekuatan itu hadir dalam diri apabila kita percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Yakin dan percaya semua ini diatur sempurna. Ia berlaku tidak sia-sia,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shiha baru sahaja muncul dengan lagu baharu berjudul Tusuk ciptaan Iqi Hugh dan Omar K. Tidak menujukan lagu tersebut kepada sesiapa, Shiha mengakui kisah dalam Tusuk berlaku dalam masyarakat.
“Lagu Tusuk ini mengisahkan tentang wanita yang dipermainkan lelaki. Dia lupa janjinya kepada wanita tersebut. Lagu ini sesuai untuk wanita di luar sana yang pernah tersakiti atau cintanya dikhianati. Shiha tahu banyak berlaku di luar sana.
“Saya harap mereka yang mendengar lagu ini terus bangkit dan lupakan kisah sedih. Dalam masa yang sama, janganlah berdendam kerana ia akan menyakitkan hati sendiri.
“Mungkin sukar untuk melupakan, namun tidak rugi jadi seorang pemaaf kerana ia dituntut dalam Islam. Hati pun menjadi lebih tenang,” tambahnya mengakhiri bicara. – WILAYAHKU