Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Isu Blackrock: Rakyat usah terbuai helah politik

- Diterbit 28 Jun 2024 9:00 AM MYT

RAKYAT dinasihatkan tidak terbuai dengan sentimen politik yang mengaitkan Israel dalam isu penyertaan syarikat asing dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Helah politik ini dilihat hanya digunakan oleh pihak pembangkang semata-mata untuk meraih kuasa dan memburukkan kerajaan.

Aktivis politik, Liyana Marzuki berpandangan, rakyat perlu mendapatkan fakta dan data yang betul selain memahami siapa sebenarnya BlackRock.

“BlackRock adalah syarikat pelaburan antarabangsa yang terbesar di dunia menguruskan aset global bernilai kira-kira AS$10 trilion dan sudahpun berada di Malaysia sejak penghujung 1990-an.

“Disebabkan ia merupakan sebuah syarikat pengurusan aset global terkemuka maka, ia mempunyai saham merata-rata di dunia seperti di Amerika Syarikat, Israel, Saudi Arabia dan kebanyakan negara Islam.

“Jadi, kalau kita faham BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel serta bukan entiti politik, maka kita tidak akan terbuai dengan sentimen yang dibawa pembangkang,” ujar beliau.

Malah, tambah beliau seperti yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta dalam pasaran saham.

“Setakat Mei 2024, BlackRock sebagai sebuah firma pelaburan global sudah memiliki pelaburan ekuiti di dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia. Data menunjukkan BlackRock mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion serta RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.

“Ia bukan perkara baharu, malah Perdana Menteri terdahulu berjumpa dengan BlackRock untuk menambah pelaburan dalam negara disebabkan dana mereka yang besar. Jadi, pihak yang mengatakan ia sekutu Israel bagi saya hanyalah helah politik. Rakyat kena tahu itu,” ujar beliau.

Tambahnya, usah melihat sentimen yang dibawa oleh mana-mana ahli politik kerana tugas mereka hanya untuk membenamkan pihak lawan.

“Pada saya, isu yang dibangkitkan ini hanya satu helah untuk mengenakan kerajaan walaupun selama ini di negeri pembangkang sudah ada pelaburan daripada BlackRock.

“Sebagai contoh, jika ia syarikat yang membuat jet perang Israel dan memang datang dari Israel, hendak masuk ke sini memanglah kita boleh tolak. Tetapi jika ia satu syarikat yang ada di merata dunia dan jika ditolak akan menjejaskan ekonomi kita, kenapa dibawa isu politik sampai sebegitu sekali?” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau yang juga peguam dan penulis bebas memahami sentimen rakyat untuk memboikot demi membantu Palestin namun ia perlulah memboikot secara strategik.

“Boikot secara strategik adalah boikot syarikat-syarikat yang memang datang dari Israel bukan syarikat proksi yang melabur di Israel, di mana mereka juga ada melabur di negara Islam.

“Sebagai contoh syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM kita larang berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia tetapi jika kita tolak semua pelabur atau syarikat yang terkait Israel walaupun ia syarikat Amerika atau Britain, saya kira ia akan menjejaskan ekonomi dan kita yang akan susah nanti,” tegas beliau.

Menyelar tindakan salah seorang bekas menteri yang mengatakan BlackRock seperti ‘pembunuh rakyat Palestin’, beliau berkata ia seperti berbalik kepada diri individu tersebut.

“BlackRock itu bukan syarikat yang berada di Israel dan buat senjata. Ia hanya menaruh saham yang diperoleh daripada pelabur dan menguruskankannya dan ia bukan dalam syarikat industri Amerika Syarikat dan Israel.

“Kalau sampai begitu sekali membenci BlackRock, sepatutnya dia dah keluar daripada apa-apa pegangan yang ada BlackRock. Malah sepatutnya menyahut cabaran melepaskan sebarang jawatan dan kontrak yang berkaitan dengan syarikat tersebut,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas