Berita

Isu beras campuran : KPDN perkukuh SOP penyiasatan, jalin kerjasama Strategik dengan MARDI dan Jabatan Kimia untuk lindungi pengguna

- Diterbit 10 Mac 2025 5:00 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan langkah pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan isu percampuran beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) yang kini sedang menular di pasaran.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah ini bertujuan untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, sekaligus melindungi kepentingan pengguna.

Katanya, KPDN akan menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 untuk mengenal pasti pihak yang melakukan perihal dagang palsu berkaitan kandungan, jenis dan pelabelan beras termasuklah kesalahan penukaran bungkusan atau label beras yang bertujuan mengelirukan pengguna.

“Analisa sampel beras adalah aspek yang sangat penting dalam menentukan sama ada beras yang dijual adalah BPI atau BPT. MARDI, yang mempunyai kepakaran melalui Teknologi Pencapjarian DNA beras, akan dirujuk sebagai pihak berwibawa dalam perkara ini,” ujar beliau selepas mengadakan pertemuan dan mendengar taklimat daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau keputusan tersebut diambil setelah KPDN mengadakan pertemuan dengan MARDI untuk mendengar taklimat berhubung dapatan kajian mengenai isu campuran beras di pasaran.

Armizan berkata selain MARDI, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia dalam usaha memerangi isu beras campuran yang tidak sah.

“Kerjasama ini termasuk analisa teknikal dan pengurusan ekshibit sampel beras untuk memastikan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah,” katanya.

Ujar beliau, Komitmen KPDN adalah untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam menangani kesalahan berkaitan perihal dagang palsu, sekaligus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mereka menambah baik industri padi dan beras negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas