KERAJAAN komited menangani isu bekalan air dan elektrik di Labuan dan sedang mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah tersebut menerusi peruntukan Belanjawan Madani 2024 yang telah diluluskan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kerajaan pusat mengambil perhatian serius terhadap masalah tersebut dan memerlukan sedikit masa bagi menanganinya.
Katanya pada pembentangan Belanjawan Madani 2024 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan untuk Labuan bagi pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip-paip usang di pulau tersebut.
“Peruntukan tambahan dengan nilai yang besar kepada Labuan telah diluluskan oleh Perdana Menteri cuma kita memerlukan sedikit masa lagi untuk menggunakan peruntukan itu dengan cepat kerana isu bekalan air tidak boleh tunggu lagi sehingga ia menjadi kritikal.
“Apa yang kita lihat, bagaimana hala tuju kita mengatasi masalah ini dan Insya-Allah dengan perbincangan kali ini ke arah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Saya yakin dengan agensi kerajaan dan kementerian yang berkaitan mempunyai jalan penyelesaian namun ia memerlukan masa bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Labuan, baru-baru ini.
Pada lawatan itu, beliau turut berkesempatan meninjau perkembangan dan status beberapa kerja-kerja naik taraf yang sedang giat dilaksanakan.
Beliau turut meninjau Stesen Janakuasa Elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Projek Penggantian Paip Pumping di Terminal Tangki Simpanan Pulau Enoe.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dr Ching Thoo Kim; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU