PERUNTUKAN kepada Ahli Parlimen pembangkang akan diputuskan selepas selesai proses perundingan di antara Ketua WHIP Pembangkang dan Ketua WHIP Kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Perdana Menteri pada 9 Julai yang lalu turut menyatakan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit untuk diselesaikan.
“Penyediaan dan penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat termasuk pembangkang adalah mengikut dasar sedia ada dan tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan Kerajaan.
“Ia adalah kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.
Katanya, Kerajaan Persekutuan komited untuk merundingkan Peruntukan Khas Perdana Menteri kepada Ahli / Kawasan Parlimen Pembangkang menerusi deraf Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Ketua WHIP Pembangkang.
“Ahli Parlimen Pembangkang juga boleh berunding secara individu dengan Ketua WHIP Kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU