KECOH baru-baru ini apabila ada yang mendakwa lebih 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 tercicir daripada mendudukinya.
Segelintir netizen mendakwa kononnya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menyiasat malah membiarkan sahaja 10,000 pelajar itu gagal hadir kertas bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM 2024 yang sedang berjalan.
Menurut mereka, KPM tidak sepatutnya memandang remeh hal ini memandangkan kegagalan kertas bahasa Melayu akan membawa kepada kegagalan keseluruhan peperiksaan SPM.
Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa KPM kurang cakna akan isu tersebut kerana keciciran tersebut kebanyakan calon dari negeri pembangkang yang dilanda banjir baru-baru ini.
Diharap semua pihak bersabar kerana Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, sebelum ini telah memberi jaminan tidak mengabaikan calon-calon SPM yang tercicir.
Menurut Kah Woh, calon SPM yang berdepan sebarang masalah berkaitan peperiksaan itu digesa memaklumkan kepada bilik gerakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing supaya bantuan sewajarnya dapat diberi kepada mereka terbabit.
Beliau berkata, peluang diberi kepada calon SPM ini bukan saja khusus kepada mereka yang berdepan musibah banjir atau sebarang bencana lain, malah membabitkan perkara lain yang boleh menjejaskan kehadiran mereka ke pusat peperiksaan disediakan.
“KPM sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang peperiksaan bertulis (sedang berjalan) sehingga 6 Februari depan.
“Bukan saja ditimpa bencana, namun jika calon ada sebarang isu berkaitan peperiksaan, mereka juga boleh menghubungi bilik gerakan JPN supaya KPM dapat membantu dari semasa ke semasa.
“Bagi pelajar di negeri yang terbabit bencana, KPM sedia melaksanakan Op Payung untuk memastikan kehadiran calon ke pusat peperiksaan SPM.
“Pada masa sama, KPM bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) untuk membuat persediaan awal berhubung segala keperluan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain,” katanya selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh, Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, berdasarkan pengalaman situasi banjir ketika ujian lisan Disember lalu, KPM yakin mampu mengendalikan calon terjejas.
“Saya ingat dengan usaha yang sudah kita laksanakan ketika ujian lisan sebelum ini, KPM mampu mengendali situasi berbangkit sekiranya ada, bagi memastikan kebajikan dan kehadiran pelajar ke peperiksaan SPM.
“Kami bersedia untuk apa-apa situasi dan akan membantu pelajar yang terbabit dalam mana-mana isu sedemikian,” katanya.
Sekarang jelas, Kah Woh sendiri sudah menegaskan KPM akan terlibat dalam membantu mana-mana isu yang berkaitan SPM. – WILAYAHKU