AKHIR-AKHIR ini banyak kisah curang sama ada dalam kalangan artis atau masyarakat di luar sana. Kurang pasti apa puncanya, namun isu ini menjadi perbualan hangat sehingga ada para isteri yang mula meragui suami mereka.
Menyentuh soal kepercayaan, penyanyi popular, Datin Alyah mengaku mengikuti isu ini namun tidak memberi kesan terhadap sehingga meragui kepercayaan suaminya, pengarah muzik, Datuk Ramli MS.
“Saya tak boleh jangka apa yang akan terjadi pada masa depan, jadi saya banyak belajar daripada pengalaman. Kalau kita kawal (suami) pun, jika nak jadi apa-apa akan tetap terjadi. Bila suami atau saya keluar rumah untuk bekerja, saya akan amalkan baca surah al-Fatihah serta ayat Kursi untuk diri sendiri. Itu sajalah.
“Saya pun tak pernah buka telefon suami. Saya memang langsung tak pernah terfikir nak buka atau periksa sebab yakin Allah Maha Tahu,” katanya.
Alyah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Twomee Health Beauty dan pelantikannya sebagai duta di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Memahami tugas suami yang sering bekerja dengan ramai penyanyi wanita, tidak membuatkan Alyah mudah melatah. Baginya, isteri tidak boleh mengawal suami namun sentiasa berdoa dan yakin dengan Allah menjadikannya kuat.
“Masuk saja fasa 10 tahun perkahwinan, kehidupan kami lebih tenang berbanding awal-awal dulu. Alhamdulillah kini kami lebih banyak belajar daripada pengalaman lalu,” ujarnya. – WILAYAHKU