Selebriti

Isteri Hafidz Roshdi hamil 10 minggu, bimbang masalah depresi

- Diterbit 13 April 2023 3:30 PM MYT

ISTERI kepada pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri mengumumkan dirinya sedang hamil anak ketiga dengan kandungan sudah mencecah 10 minggu.

Berkongsi hal tersebut di Instagram, Nurul Shuhada atau Shu akui mengandung kali ini agak mencabar kerana dia sedang berhadapan masalah depresi.

“Ibu dah cuba untuk kuat. Ibu cuba hadap semuanya tapi sejujurnya ada hari, kekuatan tu tak sampai pada ibu. Semalam di mahkamah untuk mendapatkan hak ibu, ibu tak mampu tahan air mata.

“Air mata mengalir tak henti sewaktu ibu ceritakan pada mahkamah yang ibu tengah mengandung 10 minggu. Ibu dah cuba untuk kuat, sumpah demi Allah. Tapi ibu perlukan kekuatan dari sekeliling ibu.

“Ibu dapatkan rawatan untuk masalah tekanan dan depresi yang ibu hadap sekarang. Ibu akan usaha sepenuh hati, kena kuat untuk terus jaga Humairah dan Umar termasuk adik baru,” tulisnya.

Dalam pada itu, Shu dinasihatkan untuk tidak bergantung kepada ubat tekanan kerana bimbang memberi kesan negatif kepada kandungan.

“Halangan terbesar ibu sekarang, usia kandungan masih awal. Ibu tak boleh ambil ubat hospital untuk kurangkan tekanan. Ibu takut beri kesan kepada bayi dalam kandungan.

“Sekarang ibu kena berjuang tanpa ubat, tak mudah tapi ibu kena kuat untuk anak-anak. Hari ini seharian ibu menangis. Tadi kat hospital ibu jatuh pengsan. Doktor minta ibu buka puasa sebab tak cukup kuat dan boleh bahayakan kandungan.

“Ibu termenung serabut. Air mata tak henti-henti mengalir. Apa berlaku ni, ibu terima. Walaupun ibu dihina, dimaki, dikhianati, ditipu, dikasari dan kena hadap segala perjalanan dan dugaan yang ada ni,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas