ISTERI kepada guru lelaki yang tular baru-baru ini, Cikgu Din iaitu Nur Atiqah My Yusoff, 30, meninggal dunia jam 9 malam tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Nur Atiqah menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tulang rawan tahap empat.
Kisah Cikgu Din atau Mohamad Izzudin Izhar, 34, tular apabila guru lelaki itu yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Wok, Kanowit, Sarawak dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri yang sakit.
Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian warganet di Facebook, Cikgu Din dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isterinya yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.
Bagaimanapun, permohonan itu tidak berjaya atas alasan EgTukar hanya dibuka kepada guru tetap yang sudah berkhidmat selama tiga tahun dan didakwa perkara itu juga menyebabkan Cikgu Din mempunyai masalah kemurungan.
Justeru KPM mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.
Dalam pada itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi akaun facebooknya menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Nur Atiqah.
“Menerima perkhabaran duka perihal pemerigan ke rahmatullah, Allahyarham Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzudin Izhar (Cikgu Din), dari SJK (C) Ming Wok, Kanaowit, Sarawak.
“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga allahyarham,” ujarnya. – WILAYAHKU