ISTERI Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, bekas Menteri Besar Kedah, Puan Seri Faikah Hamzah, 75 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.45 pagi di Hospital Putrajaya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh anak lelakinya, Ahmad Faiq Azizan menerusi laman facebook.
“Assalamualaikum,kepada semua Saudara Mara,sahabat handai,jiran-jiran,rakan-rakan Mak kami Faikah Hamzah,kami sebagai anak-anak dan waris ingin memaklumkan bahawa pada jam 3.45 a.m di tingkat 10,Wad 10B Bilik 29,Hospital Endokrin Putrajaya, mak pada usia 75 tahun telah menghembuskan nafas terakhir.
“Kasih Ibu membawa ke Syurga, Semoga Allah S.W.T menerima segala amalan kebaikan Allahyarhamah dan mengampunkan dosa-dosa Allahyarhamah di dunia ini dan mengurniakan ganjaran Syurga di akhirat kelak,janji Allah S.W.T pasti, Insya’Allah Mak kita akan berjumpa lagi.
“Kami waris-waris ingin mengucapkan penghargaan ke atas kepada semua insan yang pernah hadir dan bersama-sama menghadapi suka dan duka Allahyarhamah di dunia ini.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua insan yang hadir menziarah dan mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah,” katanya.
Ahmad Faiq turut mengucapkan terima kasih juga kepada warga kerja Hospital Ampang yang membantu dalam rawatan kanser Allahyarham.
” Terima kasih juga kepada semua warga kerja Hospital Endokrin Putrajaya yang merawat Mak kami sehingga ke akhirnya,” katanya
Menerusi hantaran lain, Ahmad Faiq memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Faikah akan dibawa ke Masjid Teras Jernang pukul 10.30 untuk pengurusan jenazah.
“Solat Jenazah adalah sesudah solat Zohor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Teras Jernang (KOPAK),” katanya.-WILAYAHKU