Berita

Israel dituntut bayar pampasan AS$100 bilion kepada Gaza – Erdogan

Foto: BERNAMA
- Diterbit 10 Februari 2025 7:48 PM MYT

PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan rejim zionis dan kerajaan Benjamin Netanyahu perlu bertanggungjawab ke atas kemusnahan yang dilakukan terhadap Gaza dengan kerugiannya dinilaikan sebesar AS$100 bilion.

Dalam Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, Erdogan berkata, Israel mesti membayar pampasan atas kemusnahan dilakukan mereka dan proses pembinaan semula Gaza mesti dimulakan dengan dana tersebut.

Teks ucapan beliau yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dikongsi Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut beliau, setiap kerosakan yang tidak dibayar semula akan menjadikan pelaku kepada kezaliman itu akan bertindak lebih ganas.

“Lebih 61,000 orang yang tidak bersalah telah syahid di Gaza. Sekolah, masjid, gereja, universiti dibom.

“Hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah.

“Dunia menyaksikan keruntuhan nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa selama tempoh 471 hari itu,” katanya.

Erdogan kini dalam lawatan rasminya selama dua hari ke Malaysia bagi mengukuhkan hubungan Turkiye dan Malaysia.

Beliau ditemani isteri, Emine Erdogan tiba di Malaysia petang tadi.

Erdogan berkata, seramai dua juta rakyat Gaza terkepung dalam tempoh itu dan berdepan pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang paling kejam pada abad ini.

“Walaupun begitu, saudara-saudara kita di Gaza, di mana perkataan maruah terkandung dalam setiap mereka, dari muda hingga tua, dari lelaki dan wanita, tidak menyerah, tidak berlutut di depan penindas, dan tidak meninggalkan tanah air mereka.

“Berkat perjuangan keperwiraan mereka, Israel sebenarnya gagal mencapai matlamat strategik mereka.

“Hasilnya perjanjian gencatan senjata dicapai pada 19 Januari lalu. Namun Israel meneruskan kelakukannya yang tidak mengikut undang-undang dan tidak tahu malu.

“Mereka mencadangkan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang mereka diami selama ini,” tegas beliau.

Beliau berkata, dengan izin Allah, tiada siapa yang boleh atau mampu untuk mencetuskan satu lagi Nakba ke atas rakyat Palestin.

Dalam pada itu beliau menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan Palestin.

“Saya juga mengalu-alukan pendirian teguh Malaysia dalam memerangi Islamofobia.

“Kami (Turkiye dan Malaysia) telah berusaha sedaya upaya untuk menghentikan serangan dan meminta mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Kami tidak pernah tunduk kepada penindasan dan penindas. Kami tidak akan membiarkan penduduk Gaza dan Palestin bersendirian walaupun sesaat,” katanya.

Sementara itu beliau mendoakan kejayaan Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas