TIMBALAN Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang juga Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop, dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM yang baharu.
Perlantikan bekas Ahli Dewan Negara daripada PKR itu, dikongsikan menerusi akaun Facebook AKM hari ini.
“Seluruh warga kerja AKM mengucapkan sekalung tahniah kepada Datuk Ismail Yusop atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah JKOM Kementerian Komunikasi.
“Semoga datuk diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan,” kata AKM.
Pelantikan Ismail adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah JKOM pada September 2023.
Sebelum ini, Khairuddin dilantik menjadi Ketua Pengarah JKOM menggantikan Profesor Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff yang meletak jawatan. – WILAYAHKU