ISETAN of Japan Sdn Bhd menerusi Isetan Kuala Lumpur memperkenalkan ‘The Table’, konsep ruang makan di Suria KLCC Mall yang menampilkan beberapa restoran makanan dan minuman asli serta premium Jepun.
The Table mula dipopularkan di Isetan The Japan Store sebelum dibuka di Isetan The Gardens Mall, di sini pada 2022.
Pengurus Besar Jualan dan Barangan Isetan Kuala Lumpur, Kenichiro Asako berkata The Table diterajui oleh outlet utama The Oriental Park, yang menawarkan pengalaman menjamu selera buat pencinta cita rasa Asia yang enak.
“Sajian gabungan Pan-Asianya mendapat inspirasi daripada kepelbagaian gastronomi Jepun, Thailand, Vietnam dan Malaysia yang penuh rasa. Setiap suapan hidangan unik memberikan pelanggan pengalaman seolah-olah merentasi rantau ini.
“Biarpun perisa dan ramuan Jepun yang berkualiti terserlah dalam menunya, hidangan dan cita rasa serantau lain yang ditampilkan secara inovatif menggabungkan satu kulinari menarik,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran di sini malam tadi.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Bahagian Makanan dan Minuman Isetan of Japan Sdn Bhd Kazutake Kamisawa berkata Oriental Park merupakan lokasi ideal untuk menikmati hidangan berikutan suasana dan hiasan dalamannya yang sofistikated, ditambah dengan pemandangan Taman KLCC dan Tasik Simfoni.
“Sama ada menikmati minuman dengan rakan sekerja, makan tengah hari keluarga yang santai, janji temu yang romantis serta majlis tertutup juga boleh diadakan,” katanya.
Pelanggan digalak memuat turun aplikasi ‘The Table by Isetan’ untuk mendapat mata dengan setiap perbelanjaan di restoran The Table yang boleh digunakan pada kunjungan akan datang.
Manfaat lain termasuk tawaran ekslusif, maklumat terkini daripada The Table, selain berpeluang memperoleh mata tambahan menerusi program Invite and Earn.
Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun daripada Apple App Store atau Google Play, dan untuk maklumat lanjut, layari https://www.isetankl.com.my/the-table-by-isetan-app/. – BERNAMA