PROGRAM Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) – INTAN yang diperkenalkan kerajaan menunjukkan perkembangan positif dengan membantu ribuan peserta menjana pendapatan stabil menerusi sektor pertanian.
Menurut Kementerian Ekonomi, sehingga akhir tahun 2024, seramai 3,628 peserta telah diluluskan untuk menyertai program ini, melibatkan lebih 50 lokasi dengan keluasan keseluruhan 2,742 ekar di seluruh negara.
“Program ini telah memberikan impak positif kepada golongan sasar dengan purata pendapatan bulanan peserta berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM6,000, bergantung kepada jenis tanaman yang diusahakan.
“Sebagai contoh, peserta yang mengusahakan tanaman cili fertigasi di Putrajaya berjaya meraih pendapatan bersih antara RM2,200 hingga RM5,600 bagi pusingan pertama dan kedua tanaman mereka,” katanya ketika menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian Ekomomi berkata bagi memastikan kejayaan program ini, pihaknya telah menggunakan RM350 juta daripada RM500 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan IPR-INTAN.
“Peruntukan ini dibelanjakan menerusi kelulusan langsung oleh Kementerian Ekonomi serta kaedah Request for Proposal (RFP) yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).
“Langkah ini bertujuan mempercepatkan pelaksanaan program agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya.-WILAYAHKU