Berita

iPayment selari transformasi digital sektor awam

- Diterbit 12 Februari 2025 2:01 PM MYT

SISTEM Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dibangunkan bersama oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) membolehkan agensi Kerajaan Persekutuan menguruskan pembayaran oleh awam terhadap perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan.

JANM memberitahu iPayment boleh diakses melalui tiga saluran pembayaran iaitu portal, kaunter (point of sale) dan aplikasi mudah alih.

“iPayment adalah inisiatif ePembayaran di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025.

“Ia juga merupakan projek yang dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara di bawah inisiatif Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Agensi
Kerajaan Secara Bersepadu.

“Pelaksanaan sistem ini menunjukkan komitmen jitu untuk meningkatkan akauntabiliti terimaan kerajaan yang lebih telus dan selamat di persekitaran digital,” ujarnya dalam kenyataan.

Terdahulu, peluncuran Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) disempurnakan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sistem tersebut selaras dengan dasar kerajaan ke arah memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.

Sebelum ini, setiap agensi kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu. Dengan iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan
tambahan.

“Ia memberi pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran kepada Kerajaan secara dalam talian dengan menggunakan mod pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet (DuitNow Online Banking/Wallets), kod QR (DuitNow QR) dan juga e-dompet,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas