MENYANDANG kerusi Parlimen Bukit Bintang sejak 1999, malah sebelumnya bertanding di kerusi Parlimen Klang, Yang Berhormat (YB) FONG KUI LUN boleh dikatakan ‘otai’ dalam sepak terajang dunia politik tanah air.
Beliau telah melewati banyak kepimpinan Perdana Menteri dalam sejarah politiknya dan pelbagai rencam kepimpinan negara.
Bertahan sehingga kini, kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau berkongsi apa itu rahsia dunia politik, dari sekian lama di kerusi pembangkang sehingga kini di kerusi penyokong kerajaan.
Paling penting baginya adalah hubungan yang rapat dengan masyarakat supaya masalah dihadapi mereka dapat ditangani segera.
YB menjadi wakil rakyat sejak 1990, sudah melihat banyak corak pentadbiran Perdana Menteri. Apa yang YB nampak dalam perkembangan dan susunan politik, pentadbiran negara selama ini?
Sebagai wakil rakyat sejak 1990 sehingga kini, saya melihat banyak perubahan dalam landskap politik negara.
Setiap pentadbiran (Perdana Menteri), mereka membawa pendekatan dan keutamaan tersendiri.
Cabaran terbesar negara kita termasuk pentadbirannya adalah memastikan kestabilan politik dan pentadbiran yang efisien untuk rakyat.
Kini, saya amat mengharapkan agar Kerajaan Perpaduan hari ini, yang dianggotai banyak parti termasuk daripada Barisan Nasional (BN) serta dari Sarawak dan Sabah dapat memberikan fokus kepada pembinaan negara.
Paling pentingnya adalah menyelesaikan apa jua isu rakyat tanpa mengira ideologi politik mahupun kaum.
Keputusan undian yang diterima YB pastinya majoriti cukup tinggi khususnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Apa rahsia YB sehingga kini masih diterima pengundi khususnya di kawasan Bukit Bintang?
Kunci utama adalah kepercayaan dan hubungan erat dengan masyarakat.
Selaku wakil rakyat, saya sentiasa memastikan masalah rakyat didengar dan kemudiannya diselesaikan secepat mungkin. Perkhidmatan yang konsisten dan kehadiran di lapangan menjadi keutamaan saya.
Untuk PRU akan datang, apakah YB masih bersemangat untuk bertanding atau bagaimana?
Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab saya adalah berkhidmat untuk rakyat selagi diperlukan.
Walau bagaimanapun sama ada saya bertanding atau tidak pada pilihan raya akan datang, ia bergantung kepada keputusan parti dan keperluan pengundi di Bukit Bintang.
Biarpun begitu, fokus utama saya adalah memastikan kawasan ini terus maju dan sejahtera.
Kerusi Parlimen Bukit Bintang sememangnya kerusi cukup selamat bagi Pakatan Harapan (PH). Letaklah siapapun lawannya, PH cukup kuat di kerusi Parlimen tersebut. Komen YB?
Kekuatan PH di Bukit Bintang adalah hasil sokongan rakyat yang memahami dasar dan perjuangan kami. Namun kami tidak boleh ambil mudah.
Sokongan rakyat perlu terus dipelihara dengan khidmat yang berkualiti dan berintegriti.
Bukit Bintang ibarat ‘jantung’, nadi Kuala Lumpur. Namun sering kali berdepan isu-isu seperti banjir kilat, premis dikuasai warga asing termasuk isu bekalan air. Ia sedikit sebanyak mencemar imej Kuala Lumpur secara keseluruhannya. Apa pandangan YB mengenai isu sedemikian?
Ini isu yang kompleks tetapi memerlukan tindakan tegas dan sudah pastinya kerjasama semua pihak.
Saya telah dan akan terus mendesak pihak berkuasa untuk menangani isu-isu ini secara tuntas. Perancangan bandar yang lebih baik, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan dan penyelesaian sistematik adalah kunci untuk menjaga imej Bukit Bintang dan Kuala Lumpur secara keseluruhannya.
Bagaimana YB melihat perjalanan dua tahun Kerajaan Perpaduan ketika ini?
Kerajaan Perpaduan adalah peluang untuk membuktikan bahawa politik matang boleh membawa kebaikan kepada negara. Perbezaan ideologi harus diketepikan demi kepentingan rakyat. Walaupun terdapat cabaran, saya optimis bahawa kerjasama ini dapat membawa hasil positif jika fokus kekal kepada rakyat.
Prinsip utama yang YB pegang dari dahulu sehingga kini sebagai wakil rakyat?
Prinsip utama saya adalah integriti, keikhlasan dan keberanian untuk menyuarakan isu-isu rakyat. Saya percaya kepada khidmat tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi memastikan keadilan untuk semua pihak.
Apakah warga Bukit Bintang ketika ini hidup sejahtera? Atau ada isu-isu yang kerajaan terlepas pandang mengenai keberadaan mereka?
Secara keseluruhannya, warga Bukit Bintang hidup dalam keadaan baik, tetapi masih terdapat isu-isu seperti kos sara hidup, perumahan dan peluang pekerjaan yang memerlukan perhatian. Saya sentiasa terbuka untuk mendengar dan memperjuangkan keperluan mereka.
Insiden lubang benam di Masjid India. Apa pemerhatian YB terhadap keseluruhan kawasan di Bukit Bintang? Kejadian itu memberi kesan kepada ibu negara secara keseluruhannya.
Kejadian itu adalah peringatan bahawa kita perlu lebih serius dalam aspek pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur. Saya telah meminta pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh dan mengambil langkah pencegahan di seluruh Bukit Bintang bagi memastikan keselamatan warga kota.
Apakah kawasan Parlimen Bukit Bintang masih berdepan isu gelandangan? Atau ia semakin berkurangan? Usaha yang YB lakukan?
Isu gelandangan masih wujud, tetapi dengan kerjasama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO), usaha menangani masalah ini semakin menunjukkan hasil.
Antara langkah yang diambil adalah menyediakan pusat perlindungan sementara, program latihan kemahiran dan bantuan pekerjaan untuk mengubah kehidupan mereka.
—-
PRESTASI POLITIK
P120 BUKIT BINTANG
(PRU) 1999
Menang dengan majoriti 1,134
PRU 2004
Majoriti 304
PRU 2008
Majoriti 14,277
PRU 2013
Majoriti 19,399
PRU 2018
Majoriti 37,260
PRU 2022
Majoriti 38,977
—-
JAWATAN DALAM PARTI
Pengerusi DAP Selangor (1995-1997)
Timbalan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan
Bendahari DAP Kebangsaan