Berita

Integriti: Majikan main peranan

Gambar hiasan
- Diterbit 13 Januari 2025 12:22 PM MYT

“INTEGRITI dalam kalangan pekerja sangat penting untuk memastikan suasana kerja yang harmoni, produktif dan profesional,” kata Ketua Pengurusan Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Rogis Baker.

Ujar beliau, ia adalah nilai asas yang sangat penting dalam persekitaran profesional untuk membina kepercayaan antara pekerja, majikan dan rakan sekerja.

“Terdapat beberapa kajian tingkah laku menunjukkan budaya kerja yang diterapkan dalam sesebuah organisasi dapat mempengaruhi sikap dan tingkah laku pekerja. Oleh itu, program-program untuk mempersiapkan mental pekerja sangat penting untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam perkara yang menjejaskan integriti mereka.

“Program-program meningkatkan kesedaran dan pendidikan boleh membantu meningkatkan kesedaran pekerja tentang pentingnya integriti dan etika kerja. Pendidikan berterusan tentang nilai-nilai ini boleh menguatkan jati diri pekerja dan membantu mereka membuat keputusan yang betul.

“Kesihatan mental yang baik adalah asas kepada tingkah laku yang berintegriti. Program kesihatan mental di tempat kerja boleh membantu pekerja menguruskan tekanan yang sering menjadi punca kepada kesalahan integriti.

“Di samping itu, perlunya program sokongan dan bimbingan untuk mereka yang menghadapi dilema etika atau tekanan kerja. Dengan adanya sokongan ini, pekerja lebih cenderung untuk membuat keputusan yang beretika,” ujar beliau.

Tambah beliau, bagi membina budaya kerja yang positif, program-program yang memfokuskan kepada kesihatan mental dan integriti akan menggalakkan pekerja untuk berpegang kepada nilai-nilai integriti dalam setiap tindakan mereka.

“Selain itu, penting untuk menggalakkan komunikasi terbuka antara pekerja dan pengurusan bagi membolehkan pekerja melaporkan sebarang isu atau kebimbangan tanpa rasa takut akan tindakan balas.

“Dengan adanya semua ini, organisasi boleh memastikan pekerja mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran etika dan mengekalkan integriti dalam setiap aspek pekerjaan mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rogis turut menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil majikan untuk memastikan integriti, proses tadbir urus, moral dan tingkah laku beretika diamalkan di bawah pengurusan mereka.

“Pastikan terdapat polisi dan prosedur yang jelas mengenai integriti dan etika kerja. Ini termasuk kod etika, garis panduan tingkah laku dan prosedur pelaporan salah laku.

“Majikan perlu melaksanakan sistem pemantauan yang berkesan untuk mengesan dan mencegah salah laku. Pastikan tindakan disiplin yang tegas diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

“Pemimpin dan pengurusan atasan juga perlu menunjukkan teladan yang baik dalam mengamalkan integriti dan etika kerja. Sikap dan tindakan mereka akan menjadi contoh kepada pekerja lain.

“Selain itu, majikan perlu wujudkan saluran pelaporan yang selamat dan rahsia untuk pekerja melaporkan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa tanpa rasa takut akan tindakan balas,” ujar beliau.

Kata Rogis lagi, majikan boleh memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pekerja yang menunjukkan tingkah laku beretika dan berintegriti tinggi bagi menjadi motivasi kepada pekerja lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.

“Majikan perlu melakukan audit dan penilaian berkala terhadap amalan tadbir urus dan integriti dalam organisasi. Ini membantu mengenal pasti sebarang kelemahan dan mengambil tindakan pembetulan yang diperlukan.

“Dengan mengambil langkah ini, majikan boleh memastikan bahawa integriti, tadbir urus yang baik, moral dan tingkah laku beretika diamalkan di tempat kerja, sekali gus memerangi rasuah dan salah laku,” tegas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas