ATLET muay thai, Insyad Rumijam sekali lagi berjaya menghadiahkan pingat emas buat Kontinjen Wilayah Persekutuan pada penampilan keduanya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Dalam pertarungan tiga pusingan tersebut, Insyad menewaskan lawannya dari Pulau Pinang, Mohamad Shahdam Abdul Aziz dengan kutipan mata 18-14.
Berkongsi keterujaannya, Insyad berkata dia tidak menyangka dirinya mampu mempertahankan emas kerana mengalami beberapa kecederaan.
“Seminggu sebelum temasya berlangsung juga saya mengalami demam dan disebabkan itu harapan untuk dapatkan emas itu semakin rendah namun sokongan daripada ibu bapa dan pasukan membantu meningkatkan keyakinan saya,” ujarnya.
Insyad berkata dia mengambil langkah berani dengan menukar kategori pertandingan iaitu 45-48 kilogram (kg) berbanding 42-45kg pada temasya lalu.
“Tidak dinafikan pihak lawan memberi saingan yang sangat baik dan memberi sedikit cabaran ketika perlawanan namun persediaan yang dilakukan oleh saya dan juga pasukan memberikan sedikit kelebihan untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Saya masih lagi berpeluang untuk mewakili Wilayah Persekutuan pada SUKMA seterusnya dan sangat teruja untuk mempertahanan pingat emas ini,” ujarnya kepada Wilayahku.
Berkongsi lanjut, atlet berusia 18 tahun itu berkata menukar kategori pertandingan membuatkan dia perlu lebih mengambi berat tentang penjagaan berat badan.
“Jika ditanya antara bertanding dan menjaga berat badan, sejujurnya saya katakan menjaga berat adalah lebih sukar kerana ia memerlukan banyak perkara yang perlu diambil kira antaranya adalah menjaga prestasi fizikal dan mental serta mengurus jadual pemakanan secara terperinci.
“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang baik di mana diet pemakanan diuruskan oleh ibu manakala abang sulung yang juga merupakan jurulatih saya memantau dari sudut prestasi dan fizikal.
“Antara cabaran lain adalah saya perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan tempat pertandingan serta sistem pemarkahan yang baharu,” ujarnya yang juga merupakan pemenang pingat emas bagi kategori 42-45kg SUKMA 2022.
Tambahnya dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan selepas pertandingan.
“Salah satu penambahbaikan yang akan diberi fokus adalah daripada sudut Adaptasi Temasya melalui Program Simulasi Kejohanan di mana ia telah dicadangakn oleh jurulatih saya sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan sebarang situasi.
“Saya akan kembali bertanding pada bulan Oktober ini di peringkat antarabangsa di Bangkok, Thailand di mana kem persediaan saya akan bermula pada awal bulan September ini,” katanya.
Dalam pada itu, Insyad turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua phak yang telah menyokong dan membantunya sama ada secara langsung atau tidak sepanjang persediaan, semasa dan selepas temasya.
“Saya berharap agar mendapat sokongan berterusan daripada anda kerana itu merupakan salah satu bentuk motivasi bagi saya,” ujarnya.
Sementara itu, Wassof Rumijam yang juga merupakan abang kepada Insyad Rumijam juga berjaya mempertahankan pingat emas bagi kategori 48-51kg lelaki bagi dua edisi berturut-turut dengan menewaskan lawannya dari Selangor, Muhammad Nor Ikhwan Ghazali dengan kutipan mata 22-7.
Kejayaan dua beradik itu menjadikan Wilayah Persekutuan berada di tempat keempat secara keseluruhan bagi acara muay thai yang telah melabuhkan tirainya semalam dengan kutipan dua pingat emas dan empat gangsa. – WILAYAHKU