Berita

Insurans percepat tuntutan mangsa letupan paip gas Putra Heights

- Diterbit 2 April 2025 6:30 PM MYT

SYARIKAT insurans akan mempercepatkan proses tuntutan bagi pemegang polisi yang terjejas akibat letupan saluran paip gas Petronas di Putra Heights, kata Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusinya, Ng Kok Kheng, berkata pihaknya menjangkakan jumlah tuntutan yang tinggi apabila pemilik harta dan kenderaan mula kembali ke kawasan terjejas.

“Kami bersedia untuk menyokong mereka dalam setiap langkah proses tuntutan bagi memastikan bantuan kewangan diberikan dengan segera,” katanya.

PIAM menasihatkan semua pemegang polisi yang terkesan supaya segera menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan panduan mengenai prosedur tuntutan dan butiran perlindungan, walaupun belum dapat pulang ke rumah.

Menurut Kok Kheng, kebanyakan polisi insurans rumah dan isi rumah melindungi kerosakan akibat letupan, namun pemegang polisi perlu menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi memastikan perlindungan tersebut termasuk dalam pelan mereka.

Bantuan boleh diperoleh secara langsung melalui syarikat insurans, ejen, broker, atau platform dalam talian seperti aplikasi Digital Roadside Assistance.

Jelasnya, PIAM juga bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemegang taruh utama bagi memastikan bantuan kewangan dapat disalurkan dengan segera kepada mangsa.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) merekodkan setakat tengah hari ini, 538 mangsa dilaporkan kehilangan tempat tinggal akibat letupan tersebut yang turut mencederakan 145 individu.

Insiden pada pagi semalam itu berpunca daripada kebocoran paip gas, mencetuskan letupan kuat yang menggegarkan kawasan sekitar.

Haba daripada api yang kelihatan dari beberapa kilometer dikatakan telah mencairkan plastik dan logam dalam radius luas, manakala beberapa kediaman turut musnah kerana lokasi saluran paip yang berhampiran kawasan perumahan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas