POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti seorang suspek bagi membantu siasatan insiden menurunkan bendera Jalur Gemilang dan diganti dengan bendera Sabah serta Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek dikenal pasti sebagai Moses Paul Anap dan berusia 37 tahun.
Menurut beliau, turut disiasat adalah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Republic of Sabah North Borneo (RSNB).
“Hasil semakan mendapati lelaki yang dikenal pasti itu telah ke luar negara pada 26 Oktober 2016 dan tiada rekod kemasukan semula ke negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Siasatan pula katanya, dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini beliau memberitahu, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.
Malah katanya, siasatan juga mendapati video berkenaan ditularkan pemilik akaun media sosial warga tempatan beralamat di Sabah dan memiliki dua rekod jenayah lampau. – WILAYAHKU