Berita

Insiden pokok tumbang: Jawatankuasa khas dibentuk

Dr Zaliha (tengah) mendengar penerangan daripada pihak berkuasa yang menjalakan kerja-kerja menyelamat dalam insiden pokok tumbang di ibu negara minggu lalu.
- Diterbit 17 Mei 2024 9:00 AM MYT

SEBUAH jawatankuasa khas akan dibentuk bagi menilai keutuhan pokok-pokok khususnya yang berisiko di sekitar bandar raya Kuala Lumpur bagi mengelak insiden pohon tumbang berulang di masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan jawatankuasa yang akan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur selamat disamping menjaga kelestarian alam sekitar.

“Pemegang taruh yang bakal dilantik termasuklah persatuan penduduk dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pakar-pakar berkaitan termasuk aborist akan dikumpulkan untuk membincangkan dan melihat juga bagaimana pelaksanaan yang diamalkan oleh negara-negara lain seperti Singapura yang mempunyai satu sistem penjagaan pokok yang lebih komprehensif.

“Dalam jawatankuasa yang akan dibentuk nanti, pandangan yang disuarakan oleh semua pihak berkepentingan akan diambil kira termasuklah  penggunaan teknologi baharu yang boleh dilaksanakan bagi memulihara kelestarian alam sekitar,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Zaliha berkata apabila membina bandar raya, ia melibatkan pelbagai perkara dalam pembangunan tersebut termasuklah pemuliharaan alam sekitar yang melibatkan pokok-pokok khususnya dalam penggunaan teknologi terkini.

“Semua itu perlu dilihat dan saya dapati melalui pembacaan dan perbincangan yang teliti tentang pemuliharaan, penjagaan dan penelitian dalam proses tumbesaran pokok itu termasuklah soal akar yang membesar.

“Selain itu, kita perlu meneliti mengenai persekitaran pokok itu yang memerlukan kumpulan pakar yang boleh memberikan input dan akhirnya apa yang kita laksanakan nanti akan membawa kepada kelestarian alam sekitar sekali gus pokok itu boleh bertahan lama dan utuh,” katanya.

Menurut Zaliha, kesemua perkara tersebut ini telah dilakanakan dan pemantauan telah mula dilaksanakan sejak 2019 dan ia dilaksanakan pada pokok-pokok yang berusia 30 tahun ke atas.

“Ada sebab tertentu mengapa pokok yang berusia itu dipantau dan hanya aborist yang berdaftar dengan DBKL mempunyai justifikasi kerana mereka terlatih dan mendapat kepakaran di dalam bidang itu.

“Selain itu ia turut mengambil kira ukur lilit pokok iaitu kira-kira 1.5 meter maka pemantauan perlu dilaksanakan secara berkala,” katanya.

Zaliha berkata keseluruhan pokok di Kuala Lumpur berjumlah kira-kira 236,651 batang dan jumlah yang berusia melebihi 30 tahun setakat dikenal pasti adalah 1,346 batang pokok.

“Pokok berisiko tinggi yang telah dikenal pasti ada 175 batang pokok. Menerusi jumlah tersebut, 147 batang pokok telah ditebang dan baki perlu ditebang adalah 28 pokok menerusi tindakan jangka pendek,” katanya.

Kata Zaliha lagi, untuk perancangan jangka masa sederhana, DBKL sedang menyusun pelan pengurusan pokok terutama melibatkan pokok-pokok rendang dan ia telah memulakan perbincangan mengenai garis panduan yang jelas.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan struktur tanah mungkin berubah disebabkan cuaca maka proses pemuliharaan perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh dengan melihat kepada semua faktor yang menyebabkan keutuhan pokok itu terkesan.

“Kemudian untuk tindakan dalam masa panjang ini, kita perlu memperincikan penggantian pokok dan ini penting kerana bandar raya ini perlu kepada keseimbangan pokok-pokok dan kehijauan demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, penggantian pokok yang ditebang penting kerana pembangunan pesat bandar raya ini perlu diseimbangkan termasuklah pelan pengurangan karbon yang menjadi dasar dan ia berkait rapat dengan alam sekitar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas