PERSEKUTUAN Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong penuh seruan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), supaya majikan memberi cuti ihsan bergaji dan mempertimbangkan aturan kerja fleksibel kepada pekerja terjejas dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights, baru-baru ini.
Menurut Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, kejadian tersebut memberi kesan ketara terhadap komuniti setempat dan menggesa majikan untuk menunjukkan empati dan tanggungjawab berhadap mereka terkesan.
“MEF menyedari ramai pekerja terjejas mengalami kesukaran akibat kerugian peribadi, perpindahan dan kesejahteraan keluarga mereka.
“Oleh itu, penting untuk perniagaan mengguna pakai dasar ihsan bagi menyokong pekerja mereka yang terjejas, sambil memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Seksyen 60P Akta Kerja 1955 membenarkan pengaturan waktu kerja fleksibel termasuk hari dan lokasi bekerja, membolehkan majikan untuk membuat pelarasan berdasarkan keperluan pekerja dalam keadaan luar biasa.
Dalam masa sama, Syed Hussain juga menggesa majikan untuk mengambil langkah proaktif, seperti menyediakan sokongan kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling kepada pekerja terjejas serta memastikan saluran komunikasi dan bantuan untuk mereka yang memerlukan bantuan.
“MEF memuji majikan sektor swasta yang telah mengambil langkah untuk menyokong pekerja mereka yang terkesan dan menggalakkan semua perniagaan tanpa mengira saiz, untuk mempertimbangkan langkah ini sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Pada Selasa lalu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan berlaku kebakaran melibatkan saluran utama Petronas Gas Bhd (PGB) pada pukul 8.10 pagi.
Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya dan menyebabkan kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21×24 meter terbentuk di lokasi kejadian.
Secara keseluruhannya kebakaran itu melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga, 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. – WILAYAHKU