Berita

Insiden kibar bendera China: Elak keluarkan kenyataan berbaur hasutan

- Diterbit 26 Oktober 2024 11:01 PM MYT

ORANG ramai diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau 3R (raja, agama dan kaum) dalam mendepani isu berkaitan insiden pelancong mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak, kelmarin.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya ada meneliti komen-komen bersifat 3R berlegar di media sosial mengenai isu tersebut.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Saya juga telah baca sendiri komen-komen bersifat 3R berlegar di media sosial mengenai isu ini dan ingin memberi peringatan elakkanlah daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau 3R terutama isu perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Terdahulu polis Perak mengesahkan perarakan kereta berhias berunsur keagamaan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan diadakan tanpa permit.

Polis sudah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan akan diminta untuk megemukakan semua peserta warga asing yang disyaki berasal dari China untuk tampil membantu siasat.

Rakaman video merekodkan beberapa anggota perarakan menggibarkan bendera disyaki bendera negara China sewaktu perarakan berlangsung.

Fahmi menambah, pihak MCMC ketika ini sedang meneliti dan bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti mereka yang cuba menghasut dalam isu tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas