Berita

Insiden kebakaran paip gas : Kerajaan sumbang RM5,000 untuk rumah yang terjejas,RM2,500 untuk individu

- Diterbit 1 April 2025 6:45 PM MYT

KERAJAAN Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Petronas akan menyalurkan bantuan segera kepada penduduk yang terjejas dalam insiden di Putra Heights, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang meninjau lokasi kejadian hari ini berkata, setiap rumah yang mengalami kemusnahan sepenuhnya akan menerima bantuan segera sebanyak RM5,000, manakala pemilik lebih 100 rumah lain yang terkesan akan diberikan RM2,500.

“Keutamaan kita sekarang adalah keselamatan penduduk dan meredakan tekanan mereka.

“Pihak bomba dan polis bertindak pantas dalam menangani insiden ini, dan kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke kawasan terbabit.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Timbalan Ketua Polis Negara, Deputi Inspektor Jeneral (DIG) Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Abdul Aziz.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa meskipun keadaan kini terkawal, pemulihan kawasan perumahan itu akan mengambil masa yang panjang dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan.

“Dari perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri dan Petronas, pemulihan penuh kawasan ini tidak mungkin dapat dilakukan dalam masa singkat.

“Tragedi ini bukan seperti bencana banjir yang mengambil masa seminggu atau dua minggu untuk pulih, sebaliknya mungkin setahun atau lebih,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bersama Petronas dan Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang langkah jangka panjang bagi memastikan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mendapat penyelesaian yang wajar.

“Buat masa ini, kita telah menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Namun, kita juga sedang meneliti kemudahan tempat tinggal yang lebih baik untuk mangsa terjejas dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba, polis, Majlis Bandaraya Subang Jaya serta jawatankuasa kuil dan masjid yang membantu menyediakan perkhidmatan sementara kepada mangsa.

Ketika ditanya mengenai tempoh penduduk boleh kembali ke kediaman masing-masing, Perdana Menteri menegaskan bahawa keadaan masih belum selamat.

“Macam mana nak balik dalam keadaan macam ini? Sementara ini, jangan lagi,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas