Berita

Insiden helikopter dinaiki Presiden Iran: Harap semua mangsa ditemui segera dan selamat – Mohamad Hasan

- Diterbit 20 Mei 2024 10:27 AM MYT

MENTERI Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar semua mangsa insiden helikopter ditemui segera dan berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, satu insiden helikopter membawa Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Dr Hossein Amirabdollahian yang dilaporkan mendarat cemas di kawasan pergunungan di barat laut Iran

Menurut Mohamad, beliau mendapat khabar tentang kejadian tersebut beberapa jam lalu.

“Saya yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari rangka kerja di Asia Tengah mengikuti rapat perkembangan kes ini.

“Bagaimanapun setakat ini difahamkan misi mencari dan menyelamat masih diteruskan biarpun berdepan cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendoakan agar semua yang terlibat dijumpai dan berada dalam keadaan baik.

“Doa saya agar semua yang terlibat segera dijumpai dan berada dalam keadaan baik.

“Semoga khabar menyenangkan menjengah tidak lama lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden itu akan dimaklumkan segera melalui laman media sosial rasmi Wisma Putra.

Sebelum ini media melaporkan sebuah helikopter membawa Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran, hari ini.

Setakat ini, belum ada maklumat lanjut berhubung sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan ataupun kerosakan dalam insiden berkenaan, menurut laporan Agensi Berita Republik Islam (IRNA). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas