PELBAGAI bentuk bantuan dan sumbangan yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama agensi, ternyata tepati keperluan semasa dan kehendak rakyat terutama warga penduduk Wilayah Persekutuan.
Terkini, Inisiatif Prihatin Rakyat yang dirintis hasil cetusan idea oleh Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa diteruskan dengan penyerahan sumbangan 200 unit Gerai Wilayah Prihatin kepada kalangan penjaja di sekitar WPKL.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Setiawangsa, Yusaini Amir berkata, hasil keterangkuman bantuan serta sumbangan disalur membolehkan setiap lapisan masyarakat yang memerlukan dibantu seadanya.
Katanya, melalui inisiatif terbaharu bantuan Gerai Wilayah Prihatin hasil usahasama KWP, DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu, menjadi pelengkap kepada pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang dirintis sebelum ini.
“Sebanyak 18 unit Gerai Wilayah Prihatin dengan berkonsep mudah alih diserah kepada MPPWP Zon Setiawangsa untuk diagih di dalam kalangan penjaja yang layak dan memerlukan sebagai satu inisiatif membantu mereka menjana pendapatan terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 ini.
“Dalam fasa pertama, sejumlah 10 unit gerai ini telah pun kami serahkan kepada pemohon terpilih rata-ratanya terdiri daripada kalangan warga B40 yang kehilangan punca pendapatan akibat kesan penularan COVID-19,” katanya kepada WilayahKu ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebanyak 200 unit Gerai Wilayah Prihatin diagih kepada penjaja di sekitar kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL di seluruh WPKL melalui Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB).
Inisiatif dilaksana oleh KWP dengan kerjasama DBKL, YWP, MPP dan wakil penduduk setempat itu bertujuan membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan harian untuk menampung hidup. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU