KERAJAAN komited melaksanakan inisiatif pusingan kerja bagi pegawai perkhidmatan awam di semua kementerian, jabatan, dan agensi yang berkaitan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menyokong Agenda Reformasi Sektor Awam.
Langkah ini selaras dengan aspirasi Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam memperkasa keupayaan pemboleh daya reformasi sektor awam.
Beliau berkata, pusingan kerja merupakan strategi utama dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan dengan memberi pendedahan baharu kepada pegawai serta memperluaskan pengalaman merentasi pelbagai sektor dan bidang kepakaran.
“Seramai 1,020 pegawai telah terlibat dalam pelaksanaan pusingan kerja ini bermula Ogos 2024 hingga Februari 2025, melibatkan pegawai yang telah berkhidmat lima tahun dan ke atas di Kementerian/ Jabatan/ Agensi untuk jawatan yang sama,” ujarnya dalam kenyataan.
Tambahnya, pelaksanaan pusingan kerja telah memberi jalan keluar yang signifikan dalam memperoleh keberhasilan yang maksima sekali gus dapat membendung kemerosotan prestasi, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
“Sesungguhnya, Kerajaan amat yakin bahawa menerusi pusingan keria ia bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan dan daya saing sektor awam, tetapi juga memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, progresif, dan responsif terhadap keperluan rakyat dalam mendepani cabaran semasa,” ujar beliau. – WILAYAHKU