Berita

Inisiatif kerajaan bawa manfaat besar, lembaran baharu bermula

DISKAUN tambang feri sebanyak RM7 juta untuk penumpang feri dan bot mendapat perhatian penduduk Labuan.
- Diterbit 28 Oktober 2024 7:47 PM MYT

BELANJAWAN Madani 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober yang lalu, mencerminkan usaha kerajaan untuk membuka lembaran baharu bagi memperkasakan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dengan beberapa inisiatif utama yang difokuskan kepada keselamatan, bantuan kebajikan dan kemudahan prasarana, Labuan kini berada di landasan tepat untuk menikmati manfaat yang lebih lestari dan menyeluruh.

Antara inisiatif utama dalam Belanjawan Madani 2025 adalah inisiatif meningkatkan keselamatan di Labuan Putrajaya melibatkan pemasangan 180 kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi serta 45 butang cemas.

Menurut Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Jaludin Janteng inisiatif tersebut mampu mempertingkatkan tahap keselamatan di kawasan awam, khususnya di sekitar pusat bandar dan lokasi strategik di pulau tersebut.

Katanya, inisiatif pemasangan kamera litar tertutup dan butang panik sangat penting untuk Labuan memandangkan kawasan pulau tersebut adalah pusat kewangan dan transit maritim yang sibuk.

“Ini akan memberi rasa lebih selamat kepada penduduk tempatan, pelabur perniagaan, pihak berkuasa tempatan dan pelancong.

“Inisiatif yang paling mendapat perhatian penduduk Labuan adalah diskaun tambang feri sebanyak RM7 juta untuk penumpang feri dan bot. Selain itu, rakyat di pulau ini juga turut akan menikmati peningkatan bantuan kebajikan dengan kadar Bantuan Am Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM150 sebulan dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500.

“Inisiatif tersebut amat penting dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar di Labuan, terutama sekali di waktu ekonomi masih dalam proses pemulihan pasca pandemik,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Jaludin turut menyifatkan Belanjawan 2025 adalah satu belanjawan yang mahu memperkasakan golongan penjaja dan peniaga kecil melalui peruntukan RM100 juta untuk membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana awam di seluruh negara.

“Di Labuan, projek-projek ini bukan sahaja akan meningkatkan prasarana awam tetapi juga memberi peluang perniagaan yang lebih baik kepada penjaja kecil.

“Selain itu, cadangan peluasan pengecualian cukai pendapatan bagi aktiviti kewangan Islam di bawah Labuan International Business and Financial Centre merupakan langkah yang bijak dalam memperkukuh kedudukan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja menarik lebih banyak institusi kewangan Islam untuk beroperasi di Labuan, malah memberikan rangsangan kepada pembangunan ekonomi Labuan.

“Pengecualian cukai ini berpotensi meningkatkan aliran masuk pelaburan dan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan sambil menjadikan Labuan sebagai destinasi utama bagi pelaburan kewangan Islam di rantau Asia.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan Madani 2025 membawa banyak manfaat kepada Labuan, terutamanya dari aspek keselamatan, pengangkutan dan kebajikan. Namun, adalah penting untuk kerajaan terus memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, terutama sekali dalam menyelesaikan isu-isu pengangkutan yang lebih mendalam seperti jambatan Labuan-Menumbuk.

“Penyelesaian ini perlu diutamakan bagi memastikan hubungan dan pertumbuhan ekonomi Labuan dapat digerakkan dengan lebih cepat dan cekap,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas