KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bakal memperkenalkan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) bagi membolehkan penggabungan ruang bumbung premis kediaman untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna hijau setempat.
Menurut PETRA, inisiatif agregasi rooftop solar di kawasan skim perumahan ini akan dilaksanakan berdasarkan konsep akses grid terbuka melalui penyesuaian terhadap mekanisme program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).
“Pelaksanaan program CREAM akan membolehkan pemilik rumah memajak atau menyewa ruang bumbung premis kediaman mereka kepada pihak ketiga untuk digabungkan dengan ruang bumbung yang lain bagi tujuan pembangunan sistem jana kuasa solar PV untuk menghasilkan bekalan elektrik hijau kepada pengguna hijau setempat.
“Selain itu, pemaju TBB menggabungkan ruang bumbung berdasarkan perundangan di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa sedia ada untuk membangunkan sistem jana kuasa solar dan menjana bekalan elektrik hijau untuk disalurkan kepada pengguna hijau setempat menggunakan sistem pengagihan syarikat utiliti sedia ada.
“Dalam masa sama, syarikat korporat sebagai pengguna hijau boleh mendapatkan bekalan elektrik hijau melalui penjanaan setempat,” ujarnya dalam kenyataan.
Katanya, garis panduan bagi pelaksanaan Program CREAM ini sedang dimuktamadkan dan perincian serta panduan pelaksanaan program ini akan diumumkan Suruhanjaya Tenaga dalam masa terdekat.
“Selepas memperkenalkan program CRESS dan Cross-border Electricity Sales for Renewable Energy (CBES RE) untuk menyokong agenda peralihan tenaga, Program CREAM ini dijangka akan mewujudkan nilai tambah serta peluang ekonomi baharu kepada pemain industri dan masyarakat setempat sekaligus menyokong agenda peralihan tenaga negara.
“Selain Program CREAM, PETRA akan terus menambah baik dan memperkukuhkan inisiatif dan program TBB sedia ada termasuk pusingan bidaan baharu di bawah Program Large Scale Solar iaitu LSS-6 akan dibuka seawal suku tahun kedua 2025 bagi meningkatkan lagi kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara.
“Untuk itu, bidaan baharu bagi sistem penstoran tenaga untuk mengukuhkan lagi sistem grid pembekalan elektrik negara akan dibuka selewat-lewatnya pada suku tahun ketiga 2025,” tulisnya.
PETRA yakin program CREAM yang bakal diperkenalkan serta pengukuhan pelaksanaan program TBB sedia ada yang akan dilakukan mampu menyumbang secara signifikan kepada aspirasi peralihan tenaga
negara.
“Ia penting dalam meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050, selain menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara,” katanya. – WILAYAHKU