Berita

Industri tuna berpotensi jadi peluang keemasan untuk Labuan

- Diterbit 14 Januari 2025 1:40 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyifatkan industri tuna sebagai peluang keemasan dalam mencipta nilai ekonomi baharu di Labuan.

Katanya, industri tuna global kini bernilai kira-kira USD 42 bilion dan dijangka melonjak ke USD 54 bilion menjelang tahun 2032.

“Labuan, dengan lokasi strategiknya, ada potensi besar untuk menjadi hab global dalam industri tuna ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini

Beliau yang dalam lawatan kerja pada hari kedua di Labuan memulakan dengan lawatan ke kilang tuna kendalian Labuan Food Industries Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat tempatan yang telah 35 tahun berkecimpung dalam perikanan komersil, pembuatan, pengeksportan dan perdagangan makanan laut beku, khususnya tuna.

“Syarikat ini merupakan pengeksport utama tuna ke pasaran global seperti di USA, Eropah dan Oceania, dengan teknologi pemprosesan terkini termasuk pembekuan ultra rendah sehingga -60°C bagi memastikan kualiti terbaik untuk produk tuna mereka,” kata beliau.

Zaliha berpendapat sokongan kepada industri tuna ini perlu terus diperkukuh berikutan nilai ekonomi serta kedudukan strategik Labuan.

“Industri tersebut mampu meningkatkan peluang pekerjaan tempatan dan menjadikan Labuan sebagai pusat pemprosesan tuna bertaraf dunia.

“Dengan ekosistem yang mantap dan sokongan yang kukuh, Labuan mampu menjadi peneraju dalam industri tuna global, sekali gus memperkukuhkan peranan negara di pentas antarabangsa,” kata beliau.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas