Berita

Industri permainan digital catat hasil RM45 juta

- Diterbit 28 Oktober 2024 1:24 PM MYT

INDUSTRI permainan digital Malaysia telah mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh pihak Kerajaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata ia sekaligus membuktikan bahawa industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi yang besar untuk dimajukan melalui sokongan daripada Kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program up-skilling dan
re-skilling serta lain-lain.

“Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran.

“Antara pasaran permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China, Gamescom di Eropah dan lain-lain.

“Syarikat-syarikat permainan digital juga berpeluang untuk mempromosikan produk mereka serta menjalinkan hubungan
perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (Bangi-PH) semasa sesi soal jawab lisan di parlimen hari ini.

Menurut Gobind, dari tahun 2014 sehingga 2024, MDEC telah menerima peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM163 juta bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.

“Sehingga kini, sejumlah 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.

“Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan.

Tambah beliau, antara permainan digital tempatan yang telah menerima bantuan Dana Kandungan Digital daripada MDEC adalah Tiny Guardians oleh Kurechii Sdn. Bhd.; Re-Legend oleh Magnus Games Studio Sdn. Bhd.; No Straight Road oleh Metronomik Sdn. Bhd.; Rhythm Doctor oleh 7th Beat Games Sdn. Bhd.; dan Giga Bash oleh Passion Republic Games Sdn. Bhd

“Permainan digital tempatan turut dipromosikan dalam acara-acara tempatan seperti Jelajah Saya Digital, Malaysia Digital Content Festival, Comic Fiesta dan sebagainya.

“Malaysia Digital Content Festival yang merangkumi Level Up KL, Kre8tif! dan IMMERSE KL merupakan acara tahunan penting bagi rangkaian perniagaan industri kandungan digital di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.,” katanya.

Ujarnya, animasi juga merupakan salah satu komponen penting dalam produksi permainan digital yang didukung oleh Kementerian ini melalui MDEC.

“Terdapat beberapa syarikat animasi telah berjaya di dalam bidang ini, dan salah satu daripadanya adalah syarikat Kucingko Berhad yang telah menjadi syarikat produksi animasi tempatan pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada bulan Julai 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind turut memaklumkan, Laporan Pasaran Permainan Global Newzoo, hasil permainan global dianggarkan bernilai USD187.7 bilion pada tahun 2024 dan dijangka akan meningkat sehingga USD213.3 bilion pada tahun 2027 dengan Compound Annual Growth Rate (CAGR) sebanyak 3.1 peratus (2022-2027).

Newzoo adalah penyedia utama perisikan pasaran dan analitik global dalam sektor permainan, eSukan dan mudah alih. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas