Berita

Industri perlu bekerjasama dengan kerajaan sokong agenda perkasa TVET

Foto: BERNAMA
- Diterbit 14 November 2024 12:49 AM MYT

PIHAK industri perlu bekerjasama erat dengan kerajaan bagi menyokong agenda memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang melihat pendekatan itu membolehkan institusi TVET menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran seperti ditetapkan industri.

Malah beliau berkata, kerjasama industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaab berlaku secara komprehensif.

“Input daripada pihak industri yang konsisten mencakupi aspek kuantiti dan kualiti tenaga kerja yang diperlukan adalah amat penting dan kritikal.

“Ketepatan input ini kemudiannya disusuli dengan pembangunan kurikulum dan pelaksabaab program-program yang bersesuaian oleh institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) 2024 di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Fadillah berkata, jalinan kerjasama erat bersama industri dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai teknologi terkini yang mempunyai spillover effect atau kesan limpahan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, negara perlu memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi yang mencukupi dan berkualiti bagi memenuhi permintaan industri untuk merealisasikab agenda besar negara itu.

Jelas beliau, pemindahan teknologi dari syarikat-syarikat global akan berlaku melalui pelaburan yang konsisten masuk ke Malaysia.

“Justeru adalah amat penting untuk siatem pendidikan khususnya program TVET diperkasakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berketrampilan dan bijak menyelesaikan masalah dalam memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kecenderungan majikan memilih lulusan TVET bekerja sejak kebelakangan ini dengan sendirinya menghapuskan stigma TVET sebagai pilihan kedua.

Pada majlis itu, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dimenangi oleh Misto Mikin dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu bagi kategori pelajar.

Kategori pengajar dimenangi oleh Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang.

Anugerah Tokoh Mahir 2025 pula diberikan kepada Pengerusi SG TVET Group Bhd, Datuk Seri P Ganes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas