Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fokus

Industri hiliran tuna makin malap

- Diterbit 28 Jun 2024 11:10 AM MYT

MESKIPUN tumpuan sering diberikan terhadap aktiviti perikanan dan pemprosesan, industri hiliran tuna dilihat semakin malap sekali gus menjejaskan pasaran dan nilai sumber laut itu di Labuan.

Secara umumnya, industri hiliran ini wujud bagi membantu pengusaha dan nelayan Labuan berikutan ia lebih mudah dipasarkan melalui pelbagai produk yang dihasilkan.

Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Labuan, Datuk Dr Ramli Tahir berkata spektrum peluang industri hiliran ini sewajarnya diperkasakan memandangkan tuna mempunyai peminatnya tersendiri selain mendapat permintaan menggalakkan daripada seluruh dunia khususnya dalam segmen produk halal.

Ramli yang juga bekas pengusaha burger tuna menyifatkan industri hiliran itu dilihat malap berikutan banyak faktor yang menyumbang kepada kelembapan itu meskipun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan pelan strategik yang sewajarnya menjadi pemangkin terhadap industri berkenaan.

“Tuna ini merupakan ikan yang bernilai tinggi tetapi kita di Malaysia tidak dapat memanfaatkan sumber tersebut untuk pasaran tempatan.

“Uniknya di Labuan ini, pergerakan tuna di perairan ini adalah dari arah utara ke selatan dan selatan ke utara yang bermaksud pergerakan tuna ini banyak dan sentiasa ada hampir sepanjang tahun berbanding kawasan lain di Malaysia di mana saya difahamkan hanya ada satu musim sahaja,” katanya ketika ditemui.

Menurut Ramli, di sekitar rantau Asean seperti Filipina, Vietnam dan Thailand, setiap pengusaha memerlukan lesen untuk menangkap tuna serta diberi untuk mempunyai kuota masing-masing.

“Untuk pengetahuan, kuota untuk Malaysia selalunya tidak habis dan akhirnya dibeli oleh negara Jepun yang menggunakan nama orang Malaysia. Tuna itu tidak dipasarkan di negara kita sebaliknya dibawa terus ke negara matahari terbit tersebut,” katanya.

Ramli berkata disebabkan itu, industri itu dilihat kurang mendapat pasaran di negara ini malah pernah menjadi lambakan sehingga menyebabkan harganya menjunam sehingga RM3 sekilogram.

“Jadi kita rugi kerana tuna itu pada satu-satu masa berlebihan berikutan kurang mendapat sambutan. Keadaan itu memang tidak berbaloi berikutan nelayan ini terpaksa belayar berhari-hari namun dengan harga yang pernah menjunam sehingga paras terendah menyebabkan golongan berkenaan menghadapi kesukaran dan tidak memperolehi pendapatan berikutan kos yang perlu dikeluarkan dahulu,” katanya.

Ramli berkata disebabkan situasi tersebut, beliau mengusahakan burger tuna menerusi jenama LaTuna seawal tahun 2012 dan bermula tahun 2018 memberanikan diri untuk meneroka pasaran di Semenanjung Malaysia dan telahpun mempunyai agen di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

“Semasa perniagaan baru hendak naik dan ketika kapal terbang pun masih menerima untuk dihantar ke Kuala Lumpur, boleh dikatakan kami mendapat banyak tempahan namun apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ia tidak dapat dihantar ke Kuala Lumpur.

“Ketika itu stok yang ada terpaksa diagih-agihkan kepada penduduk setempat dan saya terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu selain pihak peraih pula terpaksa membatalkan pesanan berikutan masalah logistik,” katanya.

Ramli masih menaruh harapan untuk melihat produk hiliran berasaskan tuna ini dapat dilaksanakan semula sekali gus dapat memasarkannya ke seluruh pelosok negara.

“Selain saya, ada beberapa lagi pengusaha produk hiliran yang turut terkesan dengan situasi tersebut serta turut trauma.  Jika hendak bangunkan semula memerlukan sokongan semua pihak khususnya KPKM,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas