Berita

Individu enggan kerjasama dengan petugas perubatan dikenakan tindakan

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 11 April 2020 8:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk menghalang tugas penjawat awam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi khususnya kepada yang degil dalam pematuhan PKP susulan lanjutan perintah tersebut.

Katanya, ini dibuktikan apabila polis telah menahan 1,095 individu yang ingkar PKP.

“Daripada jumlah tersebut menyaksikan 815 individu dikompaun (RM1,000), direman (242) dan 38 jaminan polis. Manakala 373 individu telah didakwa di mahkamah semalam.

“Jumlah keseluruhan individu ditahan sejak 18 Mac hingga semalam adalah seramai 7,759,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau memberitahu, mereka yang  terus ingkar akan ditangkap dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 24 Akta
Pencegahan dan Pengawalan. Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Pesalah mungkin dihadapkan terus mahkamah namun diserahkan kepada kuasa pihak polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan mereka yang enggan bekerjasama kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk jururawat dan doktor juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Kesalahan ini boleh mengakibatkan seseorang individu dipenjara hingga dua tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas