Berita

Indeks persepsi rasuah: Keutamaan tingkat aspek penguatkuasaan, pengurusan dana awam

- Diterbit 4 Oktober 2024 10:42 AM MYT

PASUKAN Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang pertama kali bermesyuarat hari ini membincangkan enam bidang yang perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), enam bidang itu melibatkan penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik.

Malah katanya, ia menekankan bahawa usaha meningkatkan CPI menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan semata-mata di bawah SPRM.

“Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI juga telah menubuhkan Focus Group yang akan diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC); Kementerian Kewangan; Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Komunikasi.

“Objektif Focus Group yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.

“Ia akan melaporkan kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM selaku urus setia Pasukan Petugas Khas CPI,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

SPRM menambah, hasil dapatan Pasukan Petugas Khas CPI akan dilaporkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Terdahulu mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Objektif Pasukan Petugas Khas CPI ini adalah untuk mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI selaras penetapan sasaran kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun.

Ia termaktub dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12 selain selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi Pertama: Penghayatan Nilai dan Tatakelola dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan tujuh sasaran utama Ekonomi MADANI.

Pasukan ini dianggotai oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian yang berkaitan, jabatan dan agensi kerajaan iaitu SPRM, EAIC serta turut dianggotai barisan pakar.

Pakar terbabit adalah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Presiden Transparency International-Malaysia, Dr Muhammad Mohan; ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Dr. Mazlan Ahmad dan Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Antara fungsi pasukan adalah mencadangkan penambahbaikan dasar-dasar kerajaan serta meneliti langkah bagi mempercepat reformasi sektor awam meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap usaha kerajaan dalam pemantapan tatakelola dan antirasuah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas