Berita

Inayah Beauty, Yayasan Nurjiwa sumbang RM500,000 buat Palestin

Yayasan Nurjiwa menyalurkan sumbangan berjumlah RM500,000 yang diterima daripada syarikat Inayah Beauty kepada 2,500 keluarga di Gaza, Palestin.
- Diterbit 21 Oktober 2024 7:49 AM MYT

PRIHATIN terhadap isu kemanusiaan global, Yayasan Nurjiwa menyalurkan sumbangan berjumlah RM500,000 yang diterima daripada syarikat Inayah Beauty kepada 2,500 keluarga di Gaza, Palestin.

Buat julung kalinya, Inayah Beauty telah membuat langkah besar dengan membantu keluarga di Gaza, sebagai tanda dedikasi syarikat dalam usaha membantu saudara Islam kita di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, menjelaskan bahawa keyakinan terhadap Yayasan Nurjiwa dan reputasi pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, adalah faktor utama dalam keputusan mereka.

“Kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan kami keyakinan kerana integriti dan kebolehpercayaan mereka.

“Reputasi Siti (pengasas Yayasan Nurjiwa) yang telus memudahkan kami untuk menyalurkan sumbangan dengan yakin bahawa ia akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

“Tahun lalu, kami berjaya mengumpul RM300,000 untuk disumbangkan bagi membantu penduduk di Gaza. Tahun ini, jumlah sumbangan bertambah kepada RM500,000 dan daripada apa yang diberitahu, ini bagi membantu 2,500 keluarga di sana,” ujarnya.

Tambah Dini, usaha ini bukan hanya dianggap keperluan segera tetapi juga bertujuan untuk membina satu tradisi tahunan yang menyeluruh.

“Kami bercita-cita menjadikan kutipan ini sebagai acara tahunan dan berusaha memperkenalkan inovasi yang boleh menggalakkan lebih ramai untuk terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula menegaskan bahawa ketelusan adalah kunci setiap sumbangan yang diterima.

“Kami sentiasa memastikan penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan. Dengan itu, kami berkongsi aktiviti-aktiviti di media sosial supaya mereka dapat menjejaki bantuan yang diberikan, termasuk sumbangan makanan kepada anak-anak yatim,” kata Siti.

Selain membantu penduduk Gaza, Siti juga menegaskan komitmen Yayasan Nurjiwa dalam membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Kami memberi keutamaan kepada saudara kita di tanah air yang sedang menghadapi kesukaran,” tambahnya.

Turut serta dalam majlis pengumuman sumbangan berkenaan, duta-duta Inayah Beauty seperti Fasha Sandha, Nora Danish, dan Abby Abadi berkongsi pandangan mereka.

Menurut Fasha Sandha, usaha ini juga tanda sokongan dan baktinya kepada mereka yang memerlukan.

”Melibatkan diri dalam usaha seperti ini membuka mata saya terhadap pentingnya sokongan kepada masyarakat. Saya bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif yang memberi impak sebenar,” ujarnya.

Nora Danish yang berbesar hati terlibat dalam program ini juga berkata, penglibatan artis memberi semula kepada masyarakat adalah satu tanggungjawab.

“Kerjasama antara selebriti dan syarikat mampu membawa perubahan yang signifikan. Ini bukan sekadar sumbangan wang, tetapi isyarat bahawa kita semua bertanggungjawab terhadap kebajikan manusia sejagat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abby Abadi pula berpendapat bahawa aktiviti ini menunjukkan kekuatan bersatu dalam membantu mereka yang ditimpa musibah.

“Kami berharap ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai untuk bergabung dalam misi bantuan ini,” ulasnya.

PENGASAS Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi.

Dengan komitmen yang jelas dan kolaborasi strategik, Inayah Beauty dan Yayasan Nurjiwa terus memainkan peranan penting dalam misi kemanusiaan, memberikan harapan kepada ribuan keluarga dan mendorong semangat dermawan dalam setiap pihak yang terlibat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas