Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN
PUTRAJAYA – Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, Perbadanan Putrajaya (PPj) menggunakan lukisan ‘Unity in diversity: skyline series’ bagi menggantikan imej pada arca Putrajaya yang terletak di Dataran Putra di sini.
Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, penukaran imej tersebut bagi memberi ‘kesegaran’ serta kelainan pada arca yang juga mercu tanda di Putrajaya dan pada masa sama melambangkan rakyat Malaysia kepada pelancong asing.
“Arca ini kita tukar setiap enam bulan sekali, maksudnya ia akan melambangkan sesuatu yang kita mahu tonjolkan pada rakyat malaysia.
“Setiap tahun lebih kurang enam hingga tujuh juta orang datang ke Putrajaya khususnya pelancong asing. Apabila datang ke sini, mereka akan turun di Dataran Putra dan bergambar dengan arca ini,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.
Menurut Aminuddin, bagi tempoh enam bulan seterusnya imej pada arca akan lebih menonjolkan Bulan Kemerdekaan kerana ia ditukar dalam bulan Ogos.
Malah, ujar beliau, pemilihan imej berkenaan juga dibuat selepas perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Julai lalu.

Jelas beliau, Dr. Mahathir mahukan arca yang berwarna-warni dan melambangkan identiti Putrajaya dan selepas kajian dilakukan, lukisan hasil anak gadis berusia 17 tahun dipilih.
“Wan Jamila Wan Saiful Bahari merupakan anak istimewa autisme, lukisannya ini memperincikan kaum-kaum yang ada di Malaysia,” ujarnya.
Aminuddin memberitahu, pemilihan lukisan berkenaan juga berdasarkan tiga elemen utama yang ingin diketengahkan iaitu bulan Kemerdekaan, Putrajaya bersifat inklusif kerana lukisan hasil insan istimewa dan seterusnya mengaggungkan serta mengangkat kepentingan wanita dalam pembangunan di Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa bendera gergasi dipasang di atas bukit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan warga Putrajaya.
