PENGANJURAN Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2024 baru-baru ini dilihat dapat membantu dalam menonjolkan pelancongan Islam.
Menurut Pusat Pelancongan Islam (ITC), salah satu program yang disusun adalah Hari Terbuka Masjid dan berjaya diadakan di sembilan lokasi terpilih seluruh negara.
“Program ini mengajak para pengunjung pelbagai kaum untuk menyelami dunia seni bina masjid Malaysia sekali gus mengimbau warisan dan karya seni yang membentuk mercu tanda kerohanian pelbagai kaum.
“Diadakan pada 6 hingga 29 September 2024, Hari Terbuka Masjid diadakan di beberapa masjid ikonik terkemuka Malaysia untuk membolehkan pengunjung dan orang awam menghargai reka bentuk unik, simbolisme budaya serta kepentingan sejarah setiap masjid yang menjangkau ratusan tahun.
“Antara lokasinya adalah Masjid Sendayan, Negeri Sembilan; Masjid Ulul Albab dan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Terengganu; Masjid Putra, Putrajaya; Masjid Sultan Idris Shah II, Perak; Masjid Negara, Kuala Lumpur; Masjid Diraja Ala’eddin, Selangor; Masjid Negeri Pahang dan Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pengunjung juga diraikan dengan pelbagai aktiviti termasuk Ceramah Perdana, pameran Jabatan-jabatan kerajaan, sukan rakyat, kempen derma darah dan lawatan berpandu yang akan menceritakan kisah di sebalik seni bina menakjubkan merentasi pelbagai negeri di Malaysia. .
Terdahulu, ITM 2024 yang berlangsung pada 16 Ogos sehingga 30 September lalu menawarkan pelbagai acara sepanjang bulan serta tawaran pelancongan kepada orang ramai, pelancong, penggiat industri pelancongan juga usahawan dalam memberikan pengalaman pelancongan Islam yang berharga dan unik di Malaysia.
Majlis Pelancaran Awal ITM 2024 telah dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 2 Ogos lalu.
Untuk rekod, ITC ialah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). – WILAYAHKU