PENYANYI Iman Troye mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian peringkat diploma buat seketika demi memberi fokus kepada pelancaran lagu baharunya yang berjudul Kemboja.
Bagi Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 22, bukan sengaja mahu tangguh pengajian tetapi dirinya juga perlu memikirkan soal kerjaya apatah lagi mahu mempromosi lagu baharu.
“Untuk lagu kali ini saya betul-betul mahu beri fokus dan sebab itu saya buat keputusan untuk tangguh dahulu pengajian satu semester.
“Saya sasarkan akan sambung semula pengajian selepas capai yang saya mahukan tahun ini.
“Sebelum ini pun saya ambil masa untuk tampil dengan lagu baharu kerana tidak mahu terlalu gelojoh. Kita kena bersaing dengan ramai artis, jadi saya lebih pendekatan bertenang,” katanya kepada Wilayahku.
Dalam perkembangan lain, Iman Troye yang ternuka hati berkongsi kisah diri dicurangi, ia bukanlah gimik.
Iman akui dirinya juga seperti wanita lain yang pernah bercinta dan putus di tengah jalan.
“Saya hanya kongsi perkara ‘random’ yang dirasakan berkaitan dengan diri sendiri atau orang sekeliling. Saya juga seperti orang lain yang bercinta dan putus cinta.
“Apa yang saya kongsikan sebelum ini bukanlah gimik atau sengaja mahu tarik perhatian ramai,” katanya.
Iman ditemui pada majlis Raikan Keputusan SPM anjuran Pusat Tuisyen PTTI yang mana dia merupakan duta kepada organisasi itu sejak tiga tahun lalu.

Iman juga meluahkan rasa bangga apabila pelantikan sebagai duta PTTI sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan motivasi pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya sendiri sebelum bergelar penyanyi dah berjanji dengan ibu bapa untuk habiskan SPM dan sambung belajar. Syukur setiap semester saya berjaya mendapat anugerah dekan.
“Bersama PTTI saya bukan sekadar menghiburkan pelajar tetapi berkongsi dan memberi inspirasi kepada mereka,” ujarnya.
Majlis PTTI ini juga mengumumkan insantif wang tunai sebanyak RM500 bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bagi SPM tahun 2024.
Bukan itu sahaja malah sebuah kereta Perodua Axia juga ditawarkan dalam peraduan PTTI Better Results. – WILAYAHKU