ASPEK pemerkasaan tatakelola, pencerdasan ekonomi serta pembangunan produk pelancongan menjadi fokus kepada Dr Zaliha Mustafa bagi meningkatkan imej Wilayah Persekutuan tahun ini.
Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, fokus berkenaan digariskan berikutan Malaysia telah mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN serta Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus menandakan detik penting untuk melonjakkan lagi kedudukan negara di rantau ini.
“Untuk 2025, kita perlu melihat kembali usaha sepanjang tahun lalu dan kita akan membuat reviu program dan dasar yang dirancang bersama pada tahun lalu, sama ada berjaya dan dimanakah peringkatnya. Ia akan dibincangkan dengan semua ketua agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“Apa yang dirancang dan lakukan ini haruslah selari dengan apa yang dilakukan secara keseluruhannya oleh Kerajaan Persekutuan. Dan kita tahu pada tahun ini dan 2026, ada dua acara besar akan berlangsung di negara kita, iaitu Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026. Itu akan diberikan penekanan khususnya dari aspek pelancongan kerana ia adalah produk sedia dan bersifat low hanging yang boleh dikembangkan lebih luas,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat Taman Warisan Pertanian di Putrajaya pada Selasa.
Menjelas lanjut, Zaliha berkata, fokus JWP sepanjang tahun ini dilihat akan memberikan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara berikutan dua acara besar yang dilihat mampu menterjemahkan kepada peningkatan ekonomi negara.
“Kita telahpun mempunyai perancangan dalam beberapa aspek pelancongan, contohnya kita nampak agak ketara sekarang ini adalah pelancongan sukan, ekopelancongan termasuk pelancongan makanan dan ia telah ada dan boleh dikembangkan dengan meluas.
“Dari sudut yang lainnya, sudah tentulah kita hendak melihat kepada rangsangan ekonomi kepada Wilayah Persekutuan ini, juga kita lihat bahawa perlu memberi keselesaan bukan sahaja untuk industri besar, bahkan rakyat terbanyak yang terlibat secara langsung dengan industri kecil ini,” katanya.
Tambahnya, JWP turut menggalakkan orang ramai mahupun komuniti peniaga untuk menyertai program KL Start Up seperti yang dirancangkan sebelum ini yang turut dilihat akan memberi kesan yang baik kepada ekonomi rakyat.
Menurut Zaliha, pihaknya akan memastikan perancangan pembangunan Residensi MADANI dan Residensi Mampu Milik ini dilaksanakan berikutan ia merupakan hasrat Perdana Menteri yang mahukan lebih ramai warga Wilayah Persekutuan mempunyai kediaman sendiri.
“Kita kena pastikan tahun ini dan akan datang pembangunan residensi dapat dilaksanakan bagi menampung keperluan orang ramai. Selain itu, kita akan perincikan lagi sektor-sektor yang diberikan penekanan untuk tahun ini.
“Kita juga memastikan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) diteruskan kerana telah terbukti membantu warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut senada dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kekal memberi fokus terhadap penambahbaikan isu tatakelola pada tahun 2025 bagi memajukan lagi negara dalam konteks memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya bersetuju walau apa pun perancangan, akhirnya ia perlu ada pelaksanaan. Jadi ia perlu kepada tatakelola yang baik dan barulah ia nampak cantik dan boleh berjalan dengan baik seperti yang dikehendaki.
“Misalnya bab tatakelola ini, jika ia tidak dilakukan dengan baik, contohnya saya sebutkan tadi berkenaan pembangunan, kita juga hendak galakkan pembangunan dan ia mempunyai proses yang mesti dilalui seperti kelulusan pembangunan, perintah pembangunan sehinggalah kepada proses pembinaan.
“Sekiranya terdapat ketirisan, ia akhirnya merugikan negara dan dalam konteks Wilayah Persekutuan ini, ia akan menyebabkan banyak program dan projek untuk rakyat terbanyak tergendala,” katanya.
Beliau berkata isu berkenaan mempunyai kaitan secara langsung dengan perjalanan dan operasi pentadbiran kerajaan kerana ia melibatkan polisi dan pembangunan yang melibatkan semua pihak khususnya rakyat.
Zaliha turut menegaskan bahawa beliau tidak berkompromi dengan apa jua perkara yang terkait dengan masalah tatakelola, penyalah gunaan kuasa dan rasuah.
“Tahun 2024 yang lalu, kita sudah lihat tindakan tegas yang telah diambil kepada individu berkaitan dengan kesalahan rasuah, maka saya tidak akan akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan yang sama,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]