MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, meraikan 10 pemenang Program Pasport 50WP di Taman Tasik Danau Kota hari ini.
Menurut Zaliha, program yang berlangsung dari 1 Oktober 2023 hingga 25 Februari 2024 itu telah menerima 7,750 penyertaan dan daripada jumlah tersebut seramai 337 peserta telah berjaya melengkapkan 50 lokasi checkpoint di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
“Hanya 50 perserta dipilih sebagai pemenang mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan melepasi proses saringan akhir.
“Program Pasport 50WP ini memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka 50 destinasi menarik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Di samping menikmati keunikan dan kemajuan Wilayah Persekutuan, program ini juga menyemarakkan lagi semangat sense of belonging dalam kalangan perserta Program Pasport 50WP ini,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Zaliha berkata sebanyak 46 program di bawah enam teras Sambutan Hari Wilayah iaitu Teras Pengiktirafan; Teras Ilmiah & Pendidikan; Teras Usahawan; Teras Kemasyarakatan; Teras Seni & Budaya dan Teras Sukan telah dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat.
“Program-program 50 Tahun Wilayah Persekutuan ini telah dianjurkan sebagai aspirasi untuk meraikan dan mengiktiraf kegemilangan pembangunan Wilayah Persekutuan bersama komuniti.
“Kemajuan yang telah dikecap membolehkan kita menghayati dan menghargai kemakmuran dan kejayaan yang telah dicapai oleh Wilayah Persekutuan selama
50 tahun ini.
“Semangat sense of belonging ini penting dalam meningkatkan perasaan kepunyaan dalam kalangan rakyat yang akan melihat Wilayah Persekutuan ini sebagai rumah mereka sendiri dan menghargainya dengan penuh tanggungjawab.
“Semoga Wilayah Persekutuan kita terus menjadi nadi penjanaan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat dan bandar raya metropolitan yang mampan dan lestari demi kemakmuran dan kesejahteraan negara,” ujar beliau.
Sebagai rekod, Program Pasport 50WP merupakan roadmap challenge yang melibatkan 50 lokasi dari pelbagai tempat menarik, bersejarah dan destinasi tersembunyi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Semua peserta Pasport 50WP perlu melepasi checkpoint yang ditetapkan dengan mengambil gambar, mengumpul cop serta memuat naik visual di lokasi checkpoint bagi memenuhi syarat penyertaan. – WILAYAHKU