DI dalam sesebuah organisasi‚ pelbagai faktor boleh memberikan kesan kepada iklim organisasi tersebut. Persekitaran kerja yang baik dapat memberikan kesan yang positif kepada kesihatan mental pekerja.
Manakala persekitaran kerja yang negatif seperti diskriminasi dan ketidaksamaan‚ beban kerja yang berlebihan‚ kawalan pekerjaan yang rendah dan ketidakamanan pekerjaan boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan mental.
Dapatan daripada Pertubuhan kesihatan Dunia pada tahun 2019 telah mendapati bahawa 15 peratus daripada pekerja dianggarkan mengalami gangguan mental. Di seluruh dunia‚ dianggarkan sebanyak 12 bilion kehilangan hari bekerja direkodkan setiap tahun akibat kemurungan dan kebimbangan dengan kos kehilangan produktiviti sebanyak AS$ 1 trilion setahun.
Beberapa tindakan yang dilihat berkesan membantu mencegah dan mengurangkan risiko kesihatan mental di tempat kerja‚ menggalakkan keperluan mencari bantuan bagi menangani isu kesihatan mental di tempat kerja serta menyokong pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental.
Di antara perkara yang dilihat dalam menyediakan iklim organisasi yang positif adalah kolegialiti yang bermaksud interaksi kerjasama antara rakan sekerja. Ini bermaksud cara sekumpulan rakan sekerja mengambil tanggungjawab kolektif untuk kerja mereka bersama-sama dengan penyeliaan minimum daripada pihak atasan.
Jadi bagaimana interaksi kerjasama antara rakan sekerja dapat dihasilkan?
Ia boleh dilaksanakan dengan memberi fokus kepada esprit de corps iaitu kerjasama antara pekerja dan pengurusan‚ semangat bersama yang wujud dalam ahli kumpulan dan membangkitkan semangat‚ kesungguhan dan keikhlasan bekerja serta mementingkan kehormatan kumpulan.
Perkara kedua adalah pengecualian kepada rutin (Exception to Routine). Ia bermakna keadaan atau situasi yang berbeza daripada rutin‚ amalan‚ prosedur dan protokol harian yang dijalankan.
Sesebuah organisasi yang mewujudkan satu projek khas boleh beralih dari rutin biasa dan memberikan inisiatif berkeutamaan tinggi.
Selain itu‚ mewujudkan satu iklim organisasi yang positif dan luar biasa dari sudut kepimpinan juga penting. Kepimpinan yang baik dan luar biasa melibatkan seorang pemimpin bukan sekadar fokus terhadap misi dan visi organisasi tetapi mempunyai sifat empati tinggi dan memahami keperluan pekerja dalam mendapatkan latihan‚ keperluan kenaikan pangkat dan lain-lain.
Dari sudut seorang pekerja‚ luar biasa di sini bermaksud mereka yang mempunyai motivasi diri tanpa pengaruh luar. Pekerja sebegini menunjukkan minat terhadap pekerjaan mereka‚ bermotivasi tinggi‚ mengambil berat tentang kejayaan organisasi‚ komited dan berusaha keras untuk menitipkan kejayaan diri juga organisasi.
PENULIS Dr Azmawaty merupakan Timbalan Dekan Ijazah Dasar‚ Fakulti Pendidikan‚ Universiti Malaya dan Dr Ahmad Zabidi adalah Dekan Fakulti Pendidikan‚ Universiti Malaya.