LEBIH satu tan ikan bandaraya berjaya dikeluarkan dari Sungai Damansara menerusi Pertandingan Menjala Ikan Bandaraya melalui Projek Pleco Pupus 2024: Nurturing Rivers, Empowering Communities yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Ketua Projek Bersama dari Universiti Malaya (UM), Affan Nasaruddin, pertandingan yang julung kali diadakan adalah salah satu inisiatif bagi mengurangkan populasi ikan bandaraya dan memulihara ekosistem sungai.
“Melalui pendekatan berkonsepkan pertandingan, ia memberi insentif kepada komuniti untuk bersama-sama membantu mengurangkan populasi ikan asing ini.
“Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada orang awam telah menyertai pertandingan ini yang berlangsung di Sungai Damansara, Shah Alam. Menariknya, dalam tempoh masa hanya dua jam, lebih satu tan ikan bandaraya berjaya dikeluarkan dari sungai ini di mana jumlah sebesar ini sebenarnya bukan satu perkara yang ingin kita banggakan, tetapi sebagai peringatan yang situasi ikan asing ini sudah berada pada tahap kritikal dan amat merisaukan,
“Ikan bandaraya telah dikategorikan sebagai spesies invasif di Malaysia di bawah kumpulan Perosak Asing Berbahaya di Malaysia (2018). Isu spesies asing invasif ini juga ditekankan dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 dan menjelang tahun 2025,” jelasnya.
Dalam pada itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata kerajaan Selangor mengambil tindakan proaktif dalam mengurangkan populasi ikan asing ini dengan menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya bermula 1 September ini.
“Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak iaitu komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, industri serta institusi pendidikan dan penyelidikan adalah satu model kerjasama cemerlang,” jelasnya.
Jelasnya susulan daripada ini, program pemindahan ilmu kepada komuniti iaitu penghasilan makanan ikan menggunakan ikan bandaraya akan diterajui oleh Universiti Selangor (UNISEL) bermula pada bulan September 2024 di mana ia dapat memupuk nilai tambah dan mengetengahkan konsep ekonomi kitaran.
Terdahulu, pertandingan tersebut kerjasama UM melalui Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) bersama UNISEL, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB). – WILAYAHKU