Lensa

Ikan bandaraya perosak sungai

- Diterbit 9 Julai 2024 3:57 PM MYT

Oleh SYUQQREE DAIN, Video oleh HASIF HALIMI

IKAN tombot atau lebih dikenali sebagai ikan bandaraya oleh masyarakat setempat sering dijadikan sebagai ikan belaan rumah dalam kalangan peminat akuarium kerana sifatnya yang mampu membersihkan kotoran, alga serta ikan-ikan yang mati.

Pemilik biasanya akan melepaskannya ke sungai kerana ia semakin membesar dan mampu merosakkan tumbuhan dan dekorasi akuarium.

Berasal dari Amerika Selatan, kehadiran Hypostomus Plecostomus ini disifatkan sebagai ancaman yang kritikal kerana ia merupakan spesies invasif paling dominan dan sukar dimusnahkan.

Kewujudannya di perairan menyebabkan kepupusan ikan tempatan dan merosakkan ekosistem perairan negara. Selain membiak dengan cepat, ia juga turut menebuk lubang di tebing sungai untuk bertelur sekali gus menyebabkan tebing terhakis dan runtuh.

Bagi menghalanginya daripada terus bermaharajalela, Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) ditubuhkan pada 2023 bagi membersihkan sungai dari terus didominasi oleh spesies ikan pendatang ini.

Menurut Pengasasnya, Mohamad Haziq A. Rahman, ahli serta sukarelawan yang menyertai KPIB merupakan pencinta ekosistem air tawar yang juga merupakan pemancing tegar dari seluruh negara.

“Komuniti ini ditubuhkan sejak 2023 dan komited dalam usaha membersihkan sungai daripada terus didominasi oleh spesies ikan asing ini. Antara aktiviti yang dilakukan pada hari ini adalah menjala bermula pukul 8 hingga 11.30 pagi di mana kita berjaya mendaratkan sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya,” ujarnya yang ditemui pada Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Langat yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Denai Sungai Kebangsaan, Hulu Langat baru-baru ini. – WILAYAHKU

Lensa:

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas