BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun antara empat individu yang dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang baharu bagi tempoh dua tahun mulai 1 November lalu.
Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam kenyataan memaklumkan tiga lagi turut dilantik ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Hartini Saripan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik mereka sebagai ahli suruhanjaya berkenaan mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
“Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 November lalu hingga 31 Oktober 2026,” katanya.
Pelantikan baharu itu adalah bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datu Abdul Razak Tready dan Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz yang tamat lantikan pada 3 September 2024.
Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Md Raus, Suriyadi, Abdul Razak Tready dan Shamrahayu sepanjang tempoh mereka menjadi ahli suruhanjaya tersebut. – WILAYAHKU