Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Ibu rayu bantuan RM30,000

JASMIN (tengah) ketika menjalani sesi fisioterapi.
- Diterbit 28 Jun 2024 12:30 PM MYT

TIADA ibu bapa yang mampu menahan kesedihan apabila satu-satunya anak kesayangan yang baru sahaja berusia empat tahun diuji derita penyakit kronik kanser tulang sejak tahun lalu.

Bagi pasangan Khairul Azlan Abd Halim dan Nor Najiha Abdul Rani, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan permata hatinya, Jasmin Delisha kembali sihat dan ceria seperti sebelum ini.

Namun apalah daya apabila kos rawatan di luar kemampuan dan mereka terpaksa memohon sumbangan orang ramai demi menyelamatkan buah hatinya.

Bercerita lanjut kepada Wilayahku, Nor Najiha berkata mereka memerlukan bantuan sebanyak RM30,000 bagi mencukupkan kos rawatan berjumlah RM80,000.

“Jasmin baru sahaja selesai menjalani pembedahan pembuangan tumor di tulangnya pada Februari lalu dan tulang itu diganti dengan titanium sepanjang tujuh sentimeter (cm) di mana kos pembedahan itu berjumlah RM150,000.

“Kini dia menjalani sesi fisioterapi bagi melembutkan otot kaki supaya boleh berjalan semula. Selain itu, dia juga perlu menjalani sesi kemoterapi sebanyak 12 kali dan kini masih lagi berbaki lapan sesi.

“Setiap sesi kemoterapi menelan belanja kira-kira RM15,000 tidak termasuk caj lain sekiranya ada tambahan ubat atau kena buat rawatan lain. Kami juga berdepan dugaan apabila chemo port lama yang Jasmin selalu guna terpaksa dikeluarkan dan diganti baharu kerana kesan daripada jangkitan di bahagian tersebut,” ujarnya sayu.

Tambah Nor Najiha, jarak untuk setiap sesi kemoterapi adalah 18 hari dan sepanjang masa tersebut Jasmin tidak boleh ke tempat sesak kerana sistem imun yang rendah.

“Tetapi selepas habis kemoterapi, akan ada suntikan untuk naikkan bacaan neutrophill (ANC) iaitu antibodi dia. Kalau ANC tu rendah, akan senang dapat jangkitan kuman atau demam. Dia juga perlu melakukan ujian darah sebanyak tiga kali supaya bacaan darah cantik dan sesi kemoterapi seterusnya dapat diteruskan dengan lancar.

“Jasmin perlu menjalani satu lagi pembedahan untuk mengganti titanium tetapi ia bergantung kepada tumbesaran dan ketinggian dia, sekiranya kaki kanan dengan kaki kiri (yang sakit) tak sama ukuran ketinggian kena jalani pembedahan lain untuk adjust ketinggian,” ujarnya.

Luah Nor Najiha, sebelum ini dia pernah cuba mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak namun ditolak dengan alasan rawatan dilakukan di hospital swasta.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang proses rawatan Jasmin. Allah SWT sahaja yang mempu membalasnya,” ujarnya lagi.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah menderma ke akaun 5623 1133 4249 (Maybank). Sebarang pertanyaan lanjut boleh ke laman Instagram @kkhairullazlan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas