IBU kepada selebriti Chef Zam iaitu Chik Minah disahkan telah meninggal dunia lewat malam tadi di sebuah hospital swasta, Kota Damansara.
Difahamkan, Allahyarham Chik yang menghidap Pneumonia sudah beberapa hari dirawat di hospital dan ditemani oleh Chef Zam dan anak saudaranya.
Menerusi instagram, Chef Zam atau nama sebenarnya Zamzani Abdul Wahab,50, memohon agar warga maya menghadiahkan doa dan Al-Fatihah buat arwah ibunya.

“Saya memohon agar anda semua bermurah hati sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah Ma (ibu) saya.
“Doakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa-dosanya, menjauhkannya dari seksa kubur dan menempatkan rohnya bersama para syuhada,” tulis Chef Zam yang popular dengan rancangan masakannya Garam Gula, Citarasa Selebriti, Ole-Ole Malaysia, Aroma Selebriti dan banyak lagi.
Jenazah sekarang berada di Surau As-Salam, Seksyen 4, Kota Damansara akan dimandikan pada pukul 8 pagi ini.

Selepas disolatkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.
Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang beriman. Al-Fatihah. – WILAYAHKU