Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Agama

Ibu bapa uzur dianggap beban?

BERBAKTI kepada ibu bapa bukan setakat semasa mereka masih hidup bahkan perlu berterusan walaupun mereka sudah meninggal dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 28 Jun 2024 4:40 PM MYT

MENJAGA ibu bapa uzur adalah tanggungjawab yang penting khususnya buat anak-anak kerana inilah caranya untuk menunjukkan penghargaan kepada insan yang sanggup berkorban apa sahaja demi membesarkan kita.

Ketika mereka diuji dengan masalah kesihatan maka waktu inilah sepatutnya direbut peluang untuk berbakti kepada mereka dengan membantu memudahkan urusan, memastikan kesihatan terjaga dan memberi sokongan emosi yang diperlukan.

Malah tanggungjawab yang dilaksanakan ini perlulah dilakukan dengan penuh kasih sayang seperti mana mereka menjaga dan mendidik kita dengan penuh kelembutan semasa kecil.

Walau bagaimanapun dapat dilihat semakin hari ramai yang mengabaikan tanggungjawab menjaga insan penting ini di mana sesetengahnya menolak untuk menjaga ibu bapa yang dianggap remeh dan menyusahkan hidup.

Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang apatah lagi yang sudah berkeluarga. Yang bujang akan beralasan mereka baru sahaja bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup.

Sementara anak yang sudah berkeluarga pula sering memberi alasan kos sara hidup semakin mencengkam serta rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. Tambah sukar apabila pasangan tidak menyukai mentua tinggal bersama.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata adalah menjadi kewajipan buat anak untuk berkhidmat kepada ibu bapa yang memerlukan bantuan ataupun uzur.

“Islam sangat menganjurkan supaya memuliakan dan menghormati ibu bapa sebagaimana dititikberatkan dalam Al-Quran serta hadis tanpa terbatas atau terikat dengan masa atau tempat. Malah kewajipan kepada anak adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat.

“Mengabaikan tanggungjawab oleh anak terhadap ibu bapanya yang uzur bermakna tidak menunaikan hak buat kedua ibu dan bapanya,” katanya.

Tambah Mohamad, anak perlu mengutamakan ibu bapa kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan hadis keredaan serta kemurkaan Allah bergantung kepada ibu bapa.

“Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa. Riwayat at-Tirmizi.

“Berbakti kepada ibu bapa bukan setakat semasa mereka masih hidup, malahan perlu berterusan walaupun sudah meninggal dunia. Anak yang baik dan taat kepada ibu bapa tidak akan melupakan jasa serta pengorbanan yang mereka dilakukan,” ujarnya.

Jelas beliau, seorang anak merupakan insan yang bertuah jika dapat berbakti kepada kedua orang tuanya.

“Seseorang insan yang bergelar anak sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung.

“Ini kerana, Nabi SAW pernah bersabda orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga,” ujarnya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” Riwayat Muslim (2551).

Ujarnya lagi, menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki bahkan anak perempuan.

“Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali.

“Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan,” katanya.

Mohamad menegaskan ibu bapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan maka adalah menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibu bapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas