Selebriti

Ibu bapa penguat semangat anak

- Diterbit 7 Januari 2025 7:13 PM MYT

MINGGU ini peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula dan akan berakhir pada 6 Februari depan.

Di saat begini, kebiasaannya ibu bapa biasanya lebih gemuruh berbanding anak-anak. Tambahan pula SPM merupakan antara penentu hala tuju masa depan anak-anak.

Namun, jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam-kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan ketika mereka menghadapi peperiksaan.

Bukan sahaja ibu bapa, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka.

Bagi selebriti popular Amy Mastura, Siti Saerah serta Khai dan Rosma, ibu bapa memainkan peranan penting dalam tempoh anak-anak menduduki peperiksaan.

Khai, Rosma ambil cuti, luangkan masa

PASANGAN selebriti, Khai dan Rosma berpendapat bagi ibu bapa yang sibuk dengan kerja, eloklah mengambil cuti untuk fokus kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan.

Menurut Rosma, masa cuti itu adalah tanda sokongan kepada anak yang sedang berjuang dalam peperiksaan.

“Jika selama ini ibu bapa sibuk dengan kerja, kalau boleh ambillah cuti sekejap dan luangkanlah masa bersama anak-anak.

“Inilah masanya untuk ibu bapa berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan.

“Apabila cuti diluluskan, usahakanlah untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan tersebut. Sepanjang perjalanan terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya.

“Ingatkan anak sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia perolehi, yang penting dia telah pun memberikan usaha yang terbaik. Apa sahaja keputusannya kita terima dan bersyukur,” katanya.

Bagi Khai pula, dia menggunakan waktu cuti untuk aktiviti solat hajat dan berdoa bersama anak-anak.

“Guna peluang ini untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya agar dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.

“Berdoalah dengan suara yang jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa untuknya.

“Apa yang kita lakukan itu akan membuatkan anak rasa lebih dihargai dan tahu yang kita sentiasa mendoakannya,” tambahnya lagi.

Jangan bagi tekanan

BAGI Siti Saerah pula, anak-anak pasti berhadapan tekanan sama ada kecil atau besar ketika menduduki peperiksaan.

“Setiap kali peperiksaan, anak-anak pasti alami tekanan. Sebagai ibu, kena fahami situasi mereka. Jangan sesekali bagi tekanan sebaliknya berikanlah semangat agar mereka kekal tenang.

“Apabila kita tenangkan atau sejukkan hati mereka, ini sedikit sebanyak buat mereka lega dan boleh jawab peperiksaan dengan seronok dan tidak stres.

“Nak bagi semangat lagi, saya selalu masakkan nasi goreng kegemaran mereka, jadi bolehlah jawab periksa dengan tenang,” katanya.

Saerah juga akui tidak mahu anak rasa tertekan dengan peperiksaan sebaliknya sentiasa meyakinkan mereka buat yang terbaik dan sekadar kemampuan mereka.

“Pelajaran itu penting, namun janganlah ditekan anak itu sehingga menjadikan mereka stres. Elakkan perkara itu.

“Sebagai ibu, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan itu dengan lebih memahami mereka.

“Nyatakan kepada mereka dengan jelas, apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.

“Jelaskan juga kepada mereka bahawa kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat bagi mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini.

“Ramai mereka yang gagal dalam pelajaran tetapi berjaya dalam bidang yang diceburi seperti sukan, nyanyian, muzik, seni, lakonan, perniagaan dan lain-lain.

“Jadi, apabila tinggal beberapa hari lagi menjelang peperiksaan, elakkan menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan yang tidak diketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia,” tambahnya lagi.

 

Doa ibu mustajab – Amy Mastura

PELANTUN lagu Jawapan Kasih dan Sha Na Na, Amy Mastura akui banyak menghabiskan masa bersama anak-anak dalam tempoh mereka menghadapi peperiksaan.

Bagi Amy, peranan dan doa ibu bapa sangat penting sebagai mengiringi semangat anak-anak.

“Setiap peperiksaan sama ada kecil atau besar, bagi saya semuanya penting. Ia menilai dan menentukan sejauh mana kemampuan anak kita dalam pelajaran. Dari situ juga kita dapat lihat kecenderungan minat mereka.

“Sebagai ibu, doa ibu itu sangatlah penting terutamanya apabila anak bakal duduki peperiksaan. Setelah mereka berusaha, kita perbanyakkan doa, mohon kepada Allah agar anak-anak diberikan kesihatan dan dipermudah segala urusan.

“Doa adalah senjata buat orang-orang beriman manakala doa ibu bapa kepada anaknya merupakan salah satu doa yang mustajab.

“Justeru, ketika anak menghadapi situasi genting dan mencabar seperti peperiksaan, angkatlah tangan berdoa mohon Allah permudahkan urusan.

“Insya-Allah, anak-anak akan dapat menjawab dengan tenang, menepati kehendak soalan dengan mudah,” katanya.

Selain itu, Amy juga tidak lupa menyediakan sarapan untuk anak-anak sebelum masuk dewan peperiksaan.

“Biasanya saya sediakan sarapan kegemaran mereka iaitu telur setengah masak dan terus Bismillahitawakal tu alallah.

“Kita sudah berusaha, anak pun dah berusaha, yang lain serahkan kepada Allah,” ujarnya lagi.

Perkembangan tentang kerjaya, lakonan Amy Mastura dalam drama bersiri Berbahagi Suami sedang disiarkan di Astro Prima. Pelakon lain yang turut terlibat ialah Amar Baharin, Siti Elizad, Riz Amin, Sharifah Husna dan ramai lagi. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas